Tuesday, December 26, 2006

Selesaikah Masalah Di Mulut Seorang Pendebat?


DARI dahulu lagi PAS suka berdebat. Mereka melihat debat sebagai satu cara untuk menunjukkan kebenaran, dan untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka. Sebaliknya kerajaan tidak suka berdebat. Kerajaan suka buat atau laksanakan sesuatu. Sebab itu dari dahulu lagi debat tidak pernah dijadikan satu alternatif apabila berdepan dengan pembangkang. Jika adapun ia bukan dibuat oleh kerajaan per se, tetapi oleh pertubuhan atau individu tertentu dalam kerajaan.
Perdebatan atau ringkasnya debat mungkin sesuai sebagai acara, tetapi bukan cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Debat adalah saluran yang ditunggu-tunggu oleh pihak yang tidak berpuas hati untuk menghentam lawan mereka sepuas-puasnya. Sementara satu pihak menyenaraikan kelemahan-kelemahan lawan, satu pihak lagi akan bersedia dengan alasan-alasan. Hanya sekadar itu.
Kemudian para penonton yang taasub akan bersorak sambil mengetawakan pendebat yang tidak berjaya membalas hujah lawan mereka. Tepukan mereka akan lebih bergemuruh kalau lawan dapat dibisukan dan dimalukan. Sebabnya, inilah satu-satunya keseronokan yang diharapkan oleh mereka daripada sesuatu perdebatan.
Perdebatan hanyalah cara yang dituntut oleh orang yang ada kelebihan bercakap, tetapi tidak ada kelebihan-kelebihan lain. Hakikatnya, perdebatan tidak akan mengubah apa-apa. Perdebatan tidak akan menyebabkan tanah yang tergadai terbang menemui tuannya semula. Perdebatan tidak akan menyebabkan tanah yang ditumbuhi lalang tiba-tiba tertanam dengan sendirinya. Perdebatan tidak akan menjadikan orang yang malas bekerja rajin. Tidak. Perdebatan hanya sesuai untuk orang yang lebih mendominasi mulutnya daripada kedua-dua telinganya.
Di luar, saudara memusuhi lawan saudara, tetapi tidak ada alasan wajar untuk saudara membalas dendam terhadapnya. Tetapi melalui perdebatan saudara boleh melepaskan seluruh dendam saudara itu dan yang pasti tidak akan ada sesiapa yang membantah tindakan saudara itu.
Alasannya mudah, perdebatan adalah bentuk peperangan yang dibenarkan. Di medan debat tidak ada sesiapa yang tercedera, apatah lagi terkorban. Orang yang kalah dalam perdebatan masih boleh bangkit semula. Dengan sepatah kata yang jitu dan beremosi ia masih boleh memalukan lawannya. Ini semua dapat dilakukan dengan cara-cara yang tidak begitu ketara, tetapi cukup untuk mengajar lawan. Bunyinya seperti kurang senonoh, tetapi hal semacam ini boleh sahaja dimaafkan dalam sesuatu perdebatan.
Terdapat dua golongan yang tidak layak berdebat, bukan kerana mereka lemah, tetapi debat adalah saluran yang tidak sesuai langsung untuk mereka. Pertama, mereka yang banyak idea bernas untuk diketengahkan dan kedua, mereka yang mempunyai budaya action (tindakan) dan berorientasikan hasil.
Bayangkanlah, saudara telah menyusun beberapa idea yang bernas dan alasan-alasan yang jitu, tiba-tiba dengan satu hujah yang beremosi, hujah-hujah saudara tenggelam begitu sahaja.
Bayangkanlah, saudara dan kumpulan saudara telah membangunkan negara ini berpuluh-puluh tahun lamanya, tiba-tiba sahaja saudara "dikalahkan" dengan satu perdebatan bodoh yang memakan masa beberapa jam sahaja.
Di mulut seorang pendebat cerita seinci akan menjadi sekaki seperti peribahasa air setitik dilautkan, tanah sekepal digunungkan. Di mulut seorang pendebat cerita yang sepatutnya dikatup akan dibuka semula. Begitulah sebaliknya. Keadaan yang sudah betul akan menjadi kelam-kabut hanya kerana bicara seorang pendebat.
Kerajaan Malaysia dari dahulu lagi tidak pernah memilih perdebatan jauh sekali kekerasan atau paksaan dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau membuat sesuatu keputusan.
Semua ini hanya mampu dilakukan oleh pendebat, bukan orang lain. Tetapi yang nyata dunia tidak berubah di mulut para pendebat. Sebab itu dunia hampir-hampir tidak memerlukan seorang pendebat pun. Jika pendebat itu penting, sudah lama jawatan itu diwujudkan, tetapi ternyata tidak.
Dalam al-Quran debat disebut sebagai mujadalah. Ini terkandung dalam satu ayat yang bermaksud, " dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang bijaksana." Berdebat sudah menjadi fiil amar atau disuruh oleh Tuhan. Tetapi hanya menjadi pilihan terakhir setelah kedua-dua cara sebelum ini tidak begitu berkesan, iaitu menyeru dengan cara yang penuh kebijaksanaan (bil-hikmah) dan menunjukkan contoh yang terbaik (mau 'izatil hasanah).
Perdebatan adalah tempat berhimpunnya penyokong yang fanatik yang melihat bahawa masalah dunia ini boleh diselesaikan melalui lidah yang tidak bertulang. Sedangkan yang lebih menonjol daripada sesuatu perdebatan hanyalah kebolehan bercakap dan mematahkan hujah lawan, bukan sangat hendak mencari jalan penyelesaian.
Pendebat yang berjaya menarik perhatian pendengar atau penonton bukanlah pendebat yang mempunyai isi pun. Tetapi pendebat yang berjaya ialah pendebat yang bijak bermain dengan emosi dan kata. Itu pun setakat waktu itu atau beberapa hari selepas itu. Masuk minggu kedua atau selewat-lewathya bulan kedua orang sudah melupainya. Sebab itu orang yang biasa berdebat, akan terus mengajak sesiapa sahaja berdebat lagi, dan lagi, dan lagi kerana dengan cara itu sahajalah ia memperbaharui (refresher) keyakinan penyokong-penyokong terhadap dirinya. Atau lebih luas terhadap organisasi yang diwakilinya.
Mereka mempunyai banyak masa untuk ini. Sedangkan masa saudara lebih diperlukan untuk yang lain. Inilah satu-satunya kelebihan yang ada pada mereka yang tidak saudara miliki. Sebab itu mereka mengidamkannya, sambil cuba mempertahankannya.
Jika mereka tidak dapat berdebat secara formal, mereka akan berdebat di mana-mana sahaja, tidak terkecuali di kedai-kedai kopi atau di kantin, sambil berdiri atau duduk. Jika tidak ada sesiapa yang hendak berdebat dengan mereka, mereka akan berdebat sesama sendiri. Biasanya mereka akan menjadikan seseorang sebagai sasaran atau sesuatu isu sebagai bahan. Kemudian mereka akan ketawa bersama.
Ini berbeza dengan saudara. Saudara ada banyak kelebihan lain. Saudara tidak perlu risau tentang ini. Cuma kelebihan saudara baik untuk dilihat, bukan sedap untuk didengar.
Sayangnya kelebihan yang ada pada saudara dan orang-orang seperti saudara seolah-olah tidak dipedulikan di sini kerana di sini orang sudah membuat keputusan untuk menolak saudara walau sehebat manapun diri saudara. Saudara mungkin seorang doktor, atau seorang akauntan, tetapi jika saudara tidak petah berkata-kata saudara mungkin tidak diterima di sini. Di sini orang masih boleh disogokkan dengan kata-kata, tidak seperti di negara maju yang rakyatnya lebih terbuka, bukan sahaja mata tetapi fikiran.
Di sini, satu pihak berfikiran terbuka, tetapi pihak yang berfikiran sempit atau tertutup masih ramai dan masih mendominasi suasana. Golongan ini mengasaskan sesuatu kepada lidah mereka ketimbang tindakan mereka. Ini dapat dibuktikan apabila hampir keseluruhan aktiviti yang mereka jalankan berpusatkan lisan seperti ceramah, kuliah, syarahan, forum, debat dan muzakarah. Hidupnya puak ini adalah kerana kata-kata, sedangkan dalam tindakan, mereka masih teraba-raba. Kadang-kadang pihak yang dicerca jauh lebih baik daripada mereka.
Sebagai bukti mereka berfikiran tertutup, mereka awal-awal lagi sudah membuat keputusan untuk menolak pihak yang satu lagi sebelum berdebat. Selepas perdebatan pun mereka akan kekal dengan pendirian mereka walau apapun hasilnya. Mereka dari jenis ini hanya membaca akhbar sendiri dan memulaukan akhbar-akhbar lain yang mereka namakan akhbar kerajaan. Mereka memulaukan media elektronik milik kerajaan, walaupun mereka sendiri belum memiliki satelit dan stesen tv sendiri.
Yang anehnya di suatu segi yang lain mereka cukup terbuka dan membuka diri mereka untuk dipengaruhi oleh orang lain. Mereka mendapat maklumat daripada media-media Barat yang taukehnya adalah Yahudi dan Nasara, dan dengan bangganya menggunakan saluran internet untuk menghentam saudara mereka sendiri. Dan mereka lebih percaya kepada berita-berita seperti ini.
Pendek kata, mereka hanya mendapat maklumat daripada akhbar mereka, orang-orang mereka, para pemimpin mereka dan daripada musuh-musuh kita yang kini menjadi kawan mereka. "Musuh kepada lawan kamu adalah kawan kamu " dimanfaatkan sebaik mungkin. Inilah tipa orang yang akan berdebat dengan saudara. Inilah juga kinda para penyokong mereka yang taasub itu.
Lebih jauh daripada itu ada orang yang menjadikan perdebatan sebagai periuk nasi mereka. Merekalah yang paling kecewa jika perdebatan dibatalkan. Sebab itu merekalah yang paling kuat mendesak agar perdebatan diteruskan dengan apa cara sekalipun, termasuk mengapi-apikan lawan konon-kononnya pihak lawan pondan, bacul dan penakut.
Mereka akan berkata apa sahaja terhadap pihak lawan kerana guru-guru mereka yang sibuk berpolitik tidak sempat menegur mereka yang berkata begitu. Malahan guru-guru mereka telah berkata yang lebih teruk daripada itu. Mereka sudah pernah berkata puki mak, tentu tidak sukar bagi mereka berkata-kata apa-apa sahaja yang lebih buruk daripada itu terhadap lawan-lawan mereka. Mereka mempunyai lesen yang cukup besar untuk berkata apa sahaja setelah guru kepada guru-guru mereka tadi berani menyatakan Allah pun mencarut.
Mereka sentiasa berpaut pada jubah guru mereka dan mengikut ke mana sahaja guru mereka pergi. Malangnya ketika berpaut itu mata mereka tertutup. Jika guru terjun longkang, mereka akan terjun bersama.
Mereka tidak pentingkan soal cara lagi asalkan mereka boleh merakamkan debat itu, kemudian menerbitkannya sama ada dalam bentuk kaset, CD atau VCD, kemudian mereka menjualnya. Maka panjanglah rezeki mereka.
Ramai orang percaya pendebat yang baik ialah pendebat yang mempunyai kepintaran akal. Memang benar, tetapi itu hanya sebelum mereka berdebat. Apa yang berlaku, mereka membawa akal bersama-sama mereka, tetapi disebabkan kepanasan berdebat sebahagian daripada mereka hampir-hampir terlupa menggunakannya. Kadang-kadang mereka sengaja meninggalkannya di luar dewan bagi memastikan mulut mereka lebih laju daripada biasa.
Pendebat selalu merasakan musuh sebenar mereka ialah lawan mereka. Tetapi mereka terlupa musuh terdekat bagi seseorang pendebat ialah akal mereka sendiri kerana akal akan membataskan lidah mereka. Sebab itu mereka lebih suka bersahabat dengan lisan mereka ketimbang akal mereka kerana lidah tidak pernah menyekat atau menghalang kemahuan mereka. Lidah mereka akan sentiasa membenarkan. Dan inilah yang mereka mahu.
Jika orang kebanyakan melihat dunia melalui mata kasar dan orang alim melihat dunia melalui mata hati, para pendebat pula melihat dunia melalui mulut-mulut mereka yang sentiasa ternganga.
Perdebatan yang asalnya digunakan oleh ahli-ahli falsafah untuk mempertahankan pemikiran mereka, yang kemudiannya dimurnikan oleh para ulamak untuk membahaskan sesuatu masalah agama dan perbandingan mazhab, kini bertukar menjadi suatu pembohongan yang dipelihara oleh orang yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak pandai bertindak untuk menutup kelemahan sedia ada.
Jika ingin mencari jalan penyelesaian, cara-cara lain adalah lebih tepat. Apatah lagi kalau ia melibatkan perkara-perkara strategik dan yang menyangkut kepentingan atau keistimewaan sesuatu kaum. Dalam debat kita membuka semuanya, sedangkan lebih bijaksana jika sebahagiannya disimpan sahaja.
Sebagai contoh, jika terdapat bukti bahawa Tanah Simpanan Melayu di tempat-tempat tertentu telah dimajukan tanpa mengikut perundangan, laporkan sahaja kepada Badan Pencegah Rasuah. Jika ada pendapat bagaimana hendak memajukan orang-orang Melayu dengan cara yang lebih baik daripada cara yang ada sekarang, tuliskankan syor-syor yang membina dan serahkannya kepada kerajaan. Tak perlu diperdebatkan, lainlah kalau anda ada niat-niat yang lain.
Jika debat masih menjadi pilihan, sedangkan cara-cara lain masih ada itulah bukti yang anda tidak percayakan orang lain. Tidak percaya kepada orang lain dan mendakwa pendapat aku sahaja yang betul adalah penyakit orang yang suka berdebat.
Pendebat hanya percaya kepada diri sendiri. Jika tidak, masakan mereka memilih debat. Oleh kerana itu jawapan yang sesuai diberikan kepada pendebat ialah mereka sebenarnya tidak boleh dipercayai langsung. Mereka adalah kawan yang perlu dielakkan. Alasannya diri anda dilihat sebagai subjek yang sesuai untuk diperdebatkan. Walaupun pendebat suka berdebat, tetapi mereka paling tidak suka jika ada orang lain berdebat tentang diri atau idea mereka. Mereka akan cepat-cepat mematahkannya. Jika anda ingin menjadi sahabat baik dan kekal dengan seseorang pendebat, saudara harus mengangguk sahaja atau mengiyakan apa sahaja yang dikatakkan olehnya. Dengan cara itu pendebat akan sentiasa berasa dirinya betul dan tidak boleh dicabar. Sebab itu pendebat jika boleh ingin berdebat seorang diri. Tetapi ini tidak pernah dibuat orang. Itulah sebabnya mereka lebih suka berceramah daripada berdebat. Sebenarnya ceramah itulah yang paling digemari oleh kumpulan seperti ini kerana dengan cara itu hanya mereka yang bercakap dan penonton mendengar sahaja.
Bagi mereka yang ada idea bernas dan bitara lebih baik menulis. Tetapi inilah yang paling dihindari oleh para pendebat. Mulut yang biasa dibuka, hampir tidak berguna langsung apabila menulis. Inilah sebabnya mereka kurang terdorong untuk menulis. Lagipun menulis tidak akan menjadikan mereka cepat popular, sedangkan populariti adalah sifat yang paling penting yang diperlukan oleh ahli-ahli politik seperti mereka.
Menulis hanya menonjolkan idea bukan penulis itu sendiri. Sebab itu menulis tidaklah menarik buat mereka berbanding bercakap kerana dengan itulah mereka dapat menonjolkan diri mereka. Dan yang lebih tertonjol ialah lidah mereka. Sebab itu mereka tidak akan menyimpan lidah mereka selagi mereka boleh menggunakannya.
Apabila saudara menulis, saudara memerlukan masa yang berkualiti untuk itu. Saudara terpaksa berfikir sebelum dan semasa menulis, sambil itu saudara perlu membelek-belek dan meneliti beberapa bahan rujukan. Bukankah ini menyakitkan bagi yang tidak biasa melakukannya. Sebab itulah tidak ada sebuah buku pun yang dihasilkan oleh para pendebat. Kalau ada pun buku yang diterbitkan ia adalah hasil susunan daripada aktiviti-aktiviti yang berasaskan lisan seperti contoh yang saya kemukakan tadi bukan hasil disiplin penulisan yang sebenar.
Perdebatan adalah tempat yang paling subur untuk menyemai bibit-bibit kesombongan, riya' dan bangga diri. Daripada tanduk perdebatan akan terkeluar fitnah, dzan, syak dan memandang rendah terhadap orang lain. Jika di medan jihad, para malaikat stand by untuk membantu pasukan yang benar, tetapi di medan debat, syaitan-syaitan besar berada di merata-rata dan menunggu-nunggu masa yang sesuai untuk membantu, bukan sahaja yang benar tetapi juga yang palsu. Atas alasan itulah orang-orang yang warak selalu menghindari perdebatan yang sangat terdedah kepada fitnah lisan ini. Mengapa saudara masih mencarinya jika saudara tiada sifat-sifat yang disebutkan tadi. Kesombongan orang yang berdebat lebih menonjol apabila ada di kalangan mereka yang memilih-milih lawan mereka. Konon-kononnya lawan-lawan yang dihantar tidak cukup hebat atau setanding untuk berdepan si anu dan si anu. Mengapa tidak hantar orang kuat saudara? Mengapa hantar pengikut sahaja? Jika orang yang diharapkan gagal hadir, mereka dan penyokong-penyokong mereka akan menuduh bahawa orang tersebut pengecut (atau apa-apa sajalah). Apakah namanya semua ini kalau bukan sombong, riya' dan bangga diri. Sebagai pendebat saudara boleh saja menafikan dengan mendakwa bukan saudara yang mengingini semua ini, tetapi saudara tidak boleh berbohong kepada dunia bahawa tindakan-tindakan saudaralah yang menyebabkan lahirnya penyokong yang sebegitu. Dan jiwa saudara pun membesar dengan penyokong-penyokong seperti itu. Tetapi ingat! Jika hari ini saudara bangun bersama mereka, tidak mustahil pada masa akan datang saudara tersungkur kerana mereka.

Tidak Ada Masa Yang Sesuai-Yang Sesuai Ialah sekarang


Orang yang rugi tidak menghimpun sebarang pengalaman dalam sepanjang tempohnya bekerja. Ramai pula yang mendakwa oleh kerana hidupnya lebih lama, ia menghimpunkan lebih banyak pengalaman. Ungkapan seperti “aku lebih dulu makan garam”, “kamu budak hingusan” dan “baru setahun jagung” selalu sahaja digunakan oleh orang seperti ini untuk menunjukkan bahawa mereka mempunyai pengalaman yang lebih daripada orang lain.Tetapi sebenarnya apa yang dimaksudkan ialah mereka menghimpunkan satu tahun pengalaman yang diulang-ulangnya untuk sepuluh atau dua puluh tahun yang akan datang. Jika orang biasa-biasa menghimpunkan pengalaman yang sama banyak dengan usia mereka, orang yang luar biasa seperti Tun Dr Mahathir pula mengimpunkan lebih sekali ganda pengalaman berbanding jangka hayatnya. Inilah orang yang benar-benar memanfaatkan seluruh ruang kehidupannya dan menjadikan pengalaman pertama yang dilaluinya sebagai teladan atau sempadan.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad tidak menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Baginya tidak timbul masa ini lebih baik daripada yang lainnya atau masa ini lebih buruk daripada sebelumnya. Baginya setiap detik yang diberi adalah kurniaan Allah yang sangat berharga untuk dimanfaatkan. Dan sesiapa yang memenuhinya dengan pekerjaan yang berfaedah, mereka tidak akan mengalami kerugian. Yang pentingnya ialah mengapa ia bertindak seperti itu. Beliau tidak akan menangguh ke suatu masa yang sesuai untuk bertindak. Beliau selalu bertanya apakah yang dinamakan masa yang sesuai itu. Tunjukkan kepada saya jika ada? Bilakah masa yang sesuai itu akan muncul, sebutkan. Tahun depan? Atau Sepuluh tahun lagi. Atau akhirnya kita tidak dapat berbuat apa-apa atas alasan yang serupa bahawa tidak ada masa pun yang sesuai untuk kita kerana kita sentiasa sibuk.
Penangguhan selalunya menjadikan sesuatu itu semakin dilupai. Dalam isu yang membabitkan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir tidak memilih masa yang sesuai untuk membuat keputusan menyingkirkan orang nombor duanya itu. Pada masa tindakan diambil ke atas Anwar Ibrahim, negara sedang melaksanakan temasya sukan yang besar iaitu Sukan Komanwel kali ke-16. Belum pun semua wartawan dan pemimpin dunia pulang, pada masa itulah pengumuman pemecatan Anwar Ibrahim dibuat. Tidakkah Dr Mahathir terfikir tentang serangan balas daripada pemimpin-pemimpin itu atau soalan-soalan pedas oleh para wartawan. Saya pasti jika orang lain bukan sahaja peristiwa pemecatan itu tidak berlaku, malahan kalau hendak dilakukan pun terpaksa ditangguhkan kepada masa selepas sukan itu. Inilah satu lagi keluar biasaan Dr Mahathir yang mencengangkan ramai orang.
Ia bukan memerintah, tetapi memimpin dan membimbing. Ia menyediakan kepada kita sebuah wawasan yang siap dengan “saiz”, bentuk dan cabaran-cabarannya. Ia tidak membiarkan kita bersendirian memahami atau mengolah wawasan itu. Ia benar-benar bertindak sebagai guru kepada kita. Ramai orang menulis atau memuja seseorang yang di luar daripada lingkungannya. Orang-orang luar yang rata-rata berbangsa dan berbahasa Arab diangkat sebegitu rupa sebagai idola konon. Mereka didewakan sebagai seorang yang perlu dicontohi dalam perjuangan mereka, Nama-nama seperi Hassan al-Banna, Syed Qutub, Iqbal adalah ribuan nama yang selalu diangkat sebagai pejuang sejati. Sedangkan tidak ada seorang pun di kalangan yang disebut tadi berjaya dalam perjuangannya, seperti membentuk sebuah kerajaan atau memimpin sebuah negara. Yang pasti mereka adalah seorang ketua kepada sebuah kumpulan yang terpaksa berjuang bermati-matian untuk menegakkan matlamat dan tidak pernah pun berpeluang memerintah sebuah kerajaan atau negara. Kebanyakan yang diangkat sebagai pejuang ialah orang yang gagal. Mengapa? Mengapa orang yang masih hidup dan ada di depan mata yang telah pun berjaya dalam melaksanakan pembangunan negara daripada bangsa kita sendiri dikesampingkan
.

Perbezaan Antara Kerajaan dan Pembangkang


PERTUKARAN pemimpin dan kerajaan belum tentu menjanjikan keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya, tetapi dasar-dasar dan formula yang digunakan untuk membangun dan menyelesaikan sesuatu masalahlah yang menentukan kejayaan sesebuah negara itu. Jika peralihan kuasa tidak dapat dielak sekalipun, biarlah rakyat yang menentukannya.
Rakyat pula tidak boleh melakukannya sesuka hati mereka kerana sebagai sebuah negara demokrasi, kita ada caranya. Jika rakyat bertanggungjawab menentukan kerajaan sedia ada melalui pilihan raya, maka melalui pilihan raya jugalah rakyat berhak menukarkan kerajaan yang sedia ada. Tetapi keadaan ini tidak berlaku di negara ini. Parti yang memerintah yang dahulunya Perikatan dan sekarang Barisan Nasional tetap diberikan kepercayaan untuk memerintah.
Rakyat Malaysia nampaknya tidak begitu berminat untuk menukarkan kerajaan seperti mereka menukar baju. Apa yang berlaku di luar nampaknya tidak cuba dibawa masuk ke negara ini. Mereka belum bersedia untuk mengambil risiko daripada pertukaran kerajaan, setelah mereka melihat kerajaan yang sedia ada terbukti mampu mentadbir negara dengan baik. Semua ini hanya boleh dicapai jika kerajaan itu kuat.
Keputusan yang diambil oleh rakyat Malaysia setiap kali pilihan raya melegakan ramai pihak, termasuk para pelabur tetapi tidak pembangkang. Di Malaysia pembangkang hanya boleh berharap mereka dipilih, tetapi mereka tidak boleh memaksa rakyat memilih mereka. Pembangkang boleh berdoa dan bersembahyang hajat supaya mereka dipilih, tetapi doa mereka tidak boleh mengambil alih kerja Tuhan.
Di Malaysia pembangkang tidak begitu digeruni oleh kerajaan yang memerintah, walaupun suara mereka lebih lantang daripada suara kerajaan. Kerajaan menguasai negara, sedangkan pembangkang hanya menguasai pentas. Rakyat yang tidak begitu gemarkan konsert hiburan akan beralih ke pentas-pentas pembangkang. Rakyat seronok menonton persembahan pembangkang. Tetapi untuk memerintah negara mereka selalunya memberikannya kepada orang yang lebih serius untuk memerintah. Di sinilah kebijaksanaan rakyat Malaysia.
Rakyat di Malaysia masih ragu-ragu untuk memberikan undi kepada pembangkang yang hanya ingin menjatuhkan kerajaan, tetapi masih belum bersedia untuk memerintah. Kalau adapun yang digeruni bukan kekuatan pembangkang, tetapi perpecahan dalam parti yang memerintah.
Ramai tokoh pembangkang di Malaysia diminati, kerana kepandaian mereka berhujah. Tetapi di negara ini, kekuatan air liur tidak menjanjikan apa-apa selain sedap didengar oleh segelintir manusia. Realitinya, air liur tidak akan menjadikan orang yang lapar kekenyangan dan orang yang mati hidup semula.
Di sinilah kelemahan ketara pembangkang di negara ini. Mereka terlalu bergantung kepada kekuatan air liur, atau lebih tepat lagi kekuatan hujah. Sebab itu, tidak hairan jika orang yang paling pandai berhujah di kalangan mereka berada di barisan paling hadapan. Mereka berlagak seolah-olah ingin menyelesaikan masalah dunia ini dengan hujah-hujah mereka. Tetapi mereka terlupa orang miskin lebih memerlukan beras dan rumah.
Ketika kerajaan yang ada meninggalkan pembangunan dan buku, pembangkang pula ingin meninggalkan kepada generasi akan datang ceramah-ceramah mereka untuk dikunyah.
Pembangkang terutamanya PAS terlalu percayakan angka atau lebih tepat lagi keramaian orang yang mengikuti ceramah mereka. Lihat ceramah kami beribu-ribu yang hadir berbanding dengan ceramah UMNO. Lihat kami sekali ceramah boleh himpunkan beribu-ribu ringgit. Alasan inilah yang selalu digunakan oleh mereka untuk menunjukkan kekuatan mereka berbanding dengan UMNO. Lalu mereka memasang angan-angan untuk dipilih oleh rakyat memerintah negara ini.
Sebenarnya dari dahulu lagi ceramah PAS tidak pernah kekurangan orang berbanding dengan ceramah UMNO. Sebabnya mudah orang-orang UMNO telah pun membuat keputusan sedangkan masih ramai ahli PAS terutamanya di peringkat bawah yang teraba-teraba. UMNO juga tidak bergantung pada kekuatan hujah, kerana bukti kejayaan yang dilakukan oleh parti ini ada di mana-mana dan boleh dilihat oleh sesiapa jua.
PAS terlampau bergantung kepada isu, sedangkan UMNO memegang isi-isinya. Isu sedap didengar, tetapi isi boleh dilihat di sekeliling mereka atau melalui media milik kerajaan. Tanpa isu pembangkang hampir dilupakan. Sesuatu isu akan segar dalam tempoh seminggu kemudian akan dilupakan selepas sebulan. Sebab itu mereka mesti menciptakan isu baru sebelum isu lama dilupakan. Yang menarik isi bagi parti pemerintah adalah isu bagi parti pembangkang. Isu boleh datang dan boleh pergi. Orang yang selalu bermain dengan isu adalah orang yang ketiadaan isi. Inilah permainan orang-orang yang berjiwa kerdil, tetapi " bermulut" besar.
Pendek kata pembangkang di Malaysia tidak banyak membantu kerajaan ketika negara dilanda kegawatan ekonomi sedikit masa lalu, selain daripada mencari salah kerajaan atas apa yang berlaku.
Pembangkang di Malaysia mudah ditewaskan kerana mereka kekurangan strategi. Mereka terlampau bergantung kepada populariti, bukan kepada strategi dan pendekatan yang digunakan. Kemasukan ahli profesional dan golongan korporat dalam parti pembangkang tidak banyak memberikan kejayaan kepada parti itu kerana yang mendominasi parti tetap kumpulan yang sama-mereka yang bergelar ulamak parti. Hakikatnya, strategi parti tidak menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Mereka selalu mengangkat pendapat peribadi sebagai pendapat parti. Apabila membaca akhbar mereka, kita kadang-kadang keliru adakah kenyataan yang dikeluarkan merupakan pendapat pemimpin mereka atau pendapat parti. Para pemimpinnya gagal menghalang orang-orang di bawahnya daripada bercakap atau membuat kenyataan. Hampir semua pemimpin PAS dibenarkan bercakap dan membuat kenyataan.
Ahli-ahli bawahan PAS kadang-kadang berlagak lebih hebat daripada pemimpin mereka. Mereka jarang-jarang merujuk kepada pemimpin apabila membuat kenyataan. Mereka jarang-jarang berkata ini kena tanya tuan guru atau presiden parti. Atau berkata: " saya enggan mengulas " jika sesuatu itu kurang diyakini. Atau berkata “ menurut tuan guru atau menurut presiden parti……”.
Setiap hari ada sahaja agenda bercakap diadakan dan agenda bercakap inilah yang menjadi tumpuan sepanjang tahun. Mereka ada takwim khas untuk mempromosikan agenda bercakap ini. Ini tidak menghairankan kerana inilah satu-satunya keupayaan yang ada pada pembangkang. Hampir setiap orang yang masuk parti ini akhirnya akan pandai bercakap. Dan mereka yang lebih pandai bercakap daripada yang lain-lainnya akan diarak ke sana kemari untuk bercakap. Melalui percakapan mereka, mereka berjaya mengumpulkan wang sehingga beribu-ribu ringgit.
Oleh sebab mereka terlampau banyak bercakap akibatnya mereka gagal membezakan antara yang perlu diucapkan dan apa yang perlu disimpan, antara yang patut diwarwarkan dengan apa yang patut menjadi rahsia parti sahaja, dan antara pendapat peribadi dengan dasar parti.
Semua yang dibuat oleh kerajaan pasti diulas, sedangkan berdiam diri pada sesetengah perkara adalah lebih baik dan lebih berstrategik. Dan dalam percakapan mereka ada satu yang dominan iaitu menyalahkan kerajaan.
Tanggungjawab orang Islam untuk menutup aib orang Islam yang lain tidak berlaku di tangan PAS. Sebaliknya mereka akan dedahkan sebanyak mungkin keaiban orang lain sesuka hati mereka dan ajaibnya mereka melakukannya dengan penuh keseronokan. Mereka mengherdik lawan-lawan mereka yang konon-kononnya melemahkan mereka, tetapi pada masa yang sama mereka melakukan apa yang mereka benci itu, malah lebih ajaib lagi mereka dapat melakukan peranan ini dengan lebih hebat lagi daripada orang yang mereka dakwa tidak Islamik itu. Mereka berlagak seolah-olah syurga itu diciptakan untuk mereka dan hanya neraka layak untuk kita.
Mereka gembira jika ada tokoh daripada lawan dapat dimalukan atau dipersendakan dan penyokong setia mereka pun menanti-nantikan siapakah ahli politik UMNO yang akan menjadi habuan mereka kali ini. Dan jika ada tokoh-tokoh yang mereka benci dipecat, dibuang, ditangkap, dituduh melakukan itu dan ini atau pun didapati bersalah, mereka bersama-sama dengan pemimpin mereka melompat kegembiraan. Nah lihat betulkan apa yang aku katakan dulu Padan muka. Inilah balasan Tuhan. Itulah antara kata-kata mereka.
Mereka menuduh gerakan militan seperti al-Maunah yang merompak senjata di Kem tentera di Grik itu hanyalah sandiwara atau lakonan kerajaan. Dan apabila ada ahli kumpulan al-Maunah dijatuhi hukuman mati dan yang lainnya dijatuhi hukuman penjara mereka tidak berani menyatakan bahawa itu juga adalah sandiwara kerajaan. PAS tidak bersedia memohon maaf kepada kerajaan atas kesilapan itu. Dan mereka memang tidak pernah memohon maaf. Merekalah yang lebih pandai bersandiwara daripada kerajaan.
Seperti juga pelakon atau penyanyi mereka juga mempunyai ramai peminat. Peminat-peminat ini sanggup membuang masa dan wang ringgit dengan datang daripada jauh. Katakanlah ceramah itu dibuat di Perak, peminat-peminat mereka dari Kedah dan Selangor akan turut datang.Itulah sebabnya ceramah PAS sentiasa dipenuhi oleh ramai orang berbanding dengan ceramah UMNO. Walhal bilangan penduduk setempat yang mengikuti ceramah ini kadang-kadang tidaklah begitu ramai berbanding orang luar. Ini adalah kerana orang tempatan sudah tahu tembelang penganjur atau tuan rumah.
Tetapi Pas hampir-hampir tidak mempedulikan sokongan penduduk setempat. Yang penting ceramah itu mesti ramai orang tak kiralah dari mana mereka datang. Dan apabila ramai orang yang datang, tentulah jumlah pungutan derma pada hari itu bertambah lumayan. Dengan menadah songkok atau ketayap mereka sudah memungut beribu-ribu ringgit tak sampai pun 15 minit. Ini satu bentuk perniagaan yang menguntungkan. Kedudukan seperti itulah yang menyebabkan penyokong PAS selalu bermegah dengan kekuatan parti mereka. Konon-kononnya sokongan terhadap parti mereka begitu kuat.Tetapi apabila menjelang pilihan raya, PAS kalah juga. Nampaknya ramai orang sedar bahawa dengan berharapkan wang derma orang ramai yang dipungut semasa ceramah PAS tidak berupaya membangunkan negara ini apabila PAS memerintah.
Peminat-peminat mereka seperti juga kebanyakan orang awam yang lain bukan sangat hendak mendengar hujah-hujah agama pemimpin kegemaran mereka, tetapi yang mereka ingin dengar ialah siapakah yang akan menjadi mangsa kali ini atau apakah isunya hari ini. Kedudukan yang begitulah yang menyebabkan peminat mereka sudah pandai mengklasifikasikan yang mana penceramah yang sedap atau yang kurang menyengat. Sedap dan menyengat di sini maksudnya ialah sejauh manakah mereka dapat berhujah dengan baik sambil menghentam orang-orang tertentu. Kelebihan dalam ilmu mantiq, balaghah, tafsir al-Quran, mustalah al-Hadith, dan usul-fiqh jika ada akan dimanfaatkan sebaik yang mungkin untuk menghentam orang-orang tertentu. Dan mereka berbahagia berbuat begitu.
Sebut apa sahaja isu, akhirnya kerajaan yang akan dipersalahkan. Apabila PAS Kelantan gagal membasmi kemiskinan mereka menyatakan ini salah pemerintah yang lalu. Sampai apabila hukum hudud gagal dilaksanakan pun, mereka salahkan kerajaan juga. Konon-kononnya perlembagaan negara menghalang mereka berbuat begitu. Nampaknya mereka tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan makhluk Allah yang bernama perlembagaan itu. Islam kepartian yang menjadi pegangan mereka selama ini tidak banyak membantu mereka untuk mengatasi masalah yang satu ini. Nampaknya Islam kepartian yang mereka pegang tidak menyediakan penyelesaian kepada mereka untuk mengatasi masalah ini. Mereka menolak perlembagaan yang ada tetapi dalam perkara yang satu ini mereka adalah sama dengan pemerintah bahawa perlembagaan yang ada sangat berkuasa.
Lantaran itu mereka berkempen perlembagaan negara hanya akan bertukar jika kerajaan bertukar. Itu kata-kata mereka tetapi realitinya mereka tidak bersedia memerintah negara ini. Tidak nampak tanda-tanda yang mereka bersungguh-sungguh untuk memerintah negara ini sebagaimana kesungguhan yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional. Mereka hanya berebut-rebut untuk menguasai beberapa negeri. Alasannya mudah mereka sendiri kurang yakin akan kemampuan mereka untuk mentadbir sebuah kerajaan pusat yang terdiri daripada tiga kaum terbesar, iaitu Cina, Melayu dan India.
Walaupun mereka selalu menegaskan bahawa Islam sesuai untuk masyarakat majmuk namun mereka sendiri takut dalam hal yang satu ini. Lebih tepat lagi mereka sendiri tidak dapat gambaran bentuk perlembagaan Islam yang mereka akan ketengahkan apabila mereka memerintah. Buktinya sehingga sekarang hukum hudud yang mereka janjikan jika mereka memerintah tidak juga dapat dilaksanakan hanya kerana makhluk Allah yang bernama perlembagaan itu. Islam yang selalu dicanang-canang sebagai penyelesaian terbaik seolah-olah tidak mampu menangani perlembagaan dunia itu. Bukan salah Islam, tetapi kepartian yang menjadi pegangan mereka
Begitulah sikap pembangkang di negara ini. Mereka mengatakan perlembagaan di negara ini tidak Islamik, tetapi perlembagaan yang tidak Islamik itulah yang dipersalahkan apabila mereka gagal melaksanakan hukum Islam di negeri yang diperintah oleh mereka. Nampaknya diri mereka langsung tidak bersalah.
Pembangkang di Malaysia terutamanya PAS mempunyai formula tersendiri, iaitu jangan biarkan tuduhan kerajaan tidak berjawab. Semua yang ditujukan kepada mereka harus dijawab tanpa mempedulikan sama ada jawapan itu betul atau salah.
Kesilapan pembangkang dalam pilihan raya dua kali sebelum ini ialah mereka bersatu untuk menjatuhkan kerajaan bukan untuk menubuhkan kerajaan.
Pembangkang di negara ini seperti juga pendukung demokrasi liberal barat selalu mempertikaikan amalan demokrasi di negara ini. Demokrasi Malaysia konon-kononnya kurang demokratik, tetapi di sinilah kita pernah menyaksikan beberapa buah negeri diperintah oleh pembangkang tanpa ada gangguan. Malahan ada parti pembangkang yang pergi jauh dengan memaki hamun kerajaan melalui akhbar dan ceramah-ceramah mereka.
Keadaan pembangkang sangat berbeza dengan kerajaan. Pendekatan kepemimpinan melalui teladan, buat dan kurangkan bercakap, tidak melatah dan terus bersikap “dewasa” dalam apa jua situasi yang dihadapi telah banyak membantu parti kerajaan berhadapan dengan parti pembangkang. Malahan kewujudan parti pembangkang yang agak banyak di negara ini tidak pernah menjadi penghalang kepada kerajaan.
Sebagai contoh ketika parti pembangkang sibuk berpolitik dan menyerang kerajaan dari segenap arah, kerajaan yang ada terus dengan formulanya memajukan negara. Hampir setiap hari ada sahaja idea baru, bangunan baru, projek baru dan gagasan baru yang muncul hasil daripada pemikiran yang dinamis dan kreatif para pemimpin negara. Inilah yang dapat dilihat oleh setiap rakyat, baik yang tinggal di kota mahupun di desa yang membezakan parti pembangkang dengan parti kerajaan. Ketika parti pembangkang ingin melaksanakan itu dan ini parti kerajaan telah pun melaksanakannya.
Ketika parti pembangkang sibuk membacakan ayat-ayat suci al-Quran dan Hadis nabi, parti kerajaan sibuk melaksanakan kandungannya - membasmi kemiskinan, memajukan negara, menggalakkan perniagaan, menggerakkan IT dan sebagainya.
Ketika parti pembangkang sibuk bercakap, parti kerajaan sibuk bekerja – membina jalan raya, lebuh raya, jambatan, rumah, telefon dan lain-lain kemudahan. Inilah cara kerajaan berhadapan dengan pembangkang di negara ini. Buat dan tunjukkan bukti, sambil bersikap matang, profesional dan tenang.
Apabila PAS menggunakan ayat al-Quran dan hadis, mereka merasakan seolah-olah berada di pihak yang betul, tetapi apabila mereka menggunakan hujah-hujah akal di sinilah kelemahan PAS mula kelihatan. Pemimpin UMNO jarang-jarang menggunakan ayat al-Quran, tetapi mereka dilihat sebagai pengamal Islam yang praktikal. Di sinilah ramai orang yang meragui kemampuan PAS untuk mentadbir negara ini kerana kekuatan akal itulah yang lebih diperlukan untuk mentadbir negara dan segala sistemnya daripada kefasihan menggunakan ayat al-Quran.
Apabila saudara melihat seorang miskin dan kelaparan, apakah saudara akan berkata kadalfakru aiyakuna kufran yang bermaksud “hampir-hampir kemiskinan itu membawa kepada kekufuran” di hadapan mereka. Hadis yang bernilai hampir-hampir tidak bernilai di hadapan orang yang sedang kelaparan berbanding sesuap nasi dan seteguk air.
Salah satu dakwaan yang mereka canangkan ialah sesiapa pun yang menjadi kerajaan pasti akan memajukan negaranya seperti juga tanggung jawab ayah kepada anak-anaknya. Inilah cerita karut PAS yang dicanang ke sana ke mari yang anehnya dipercayai oleh ramai orang.
Jika mana-mana kerajaan akan memajukan negaranya mengapa ada kerajaan yang tidak mampu menyediakan sekalipun kemudahan asas kepada rakyatnya sehinggakan rakyatnya kebuluran, berpenyakit dan tidak menerima pendidikan. Jika kerajaan bertanggungjawab memberikan keamanan kepada rakyatnya mengapa sehingga kini ada negara yang sentiasa dilanda peperangan, rusuhan kaum dan peperangan saudara. Apa yang lebih diperlukan oleh orang yang sedang kelaparan ialah sesuap nasi, bukannya sepotong ayat al-Quran.
Pembangkang di negara ini memilih pendekatan konfrant dengan kerajaan. Mereka memaki hamun kerajaan. Tetapi anehnya mereka berharap dengan cara itu kerajaan akan tunduk kepada kemahuan mereka. Ini adalah satu cerita bodoh mengenai pembangkang di Malaysia.