TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Saturday, May 29, 2010

Subsidi Bukan Hak

1 Rakyat patut membayar pada harga sebenar supaya mereka tahu itulah harga yang sepatutnya mereka bayar untuk suatu barangan mahupun perkhidmatan.Jika sebelum ini rakyat hanya tahu apakah kesan subsidi yang kerajaan beri kepada perbelanjaan mereka, sekarang mereka juga patut tahu apakah akibatnya kepada perbelanjaan mereka jika subsidi ditarik balik.

2 Selama ini kerajaan membayar separuh daripada harga barangan itu dan rakyat cuma membayar yang separuh lagi. Disebabkan itu kebanyakan rakyat tidak akan tahu atau tidak mahu ambil tahu berapa harga sebenar sesuatu barangan atau perkhidmatan itu.

3 Selama ini sebahagian besar daripada mereka menyangka itulah harga sebenar yang patut mereka bayar. Inilah kesan buruk subsidi kepada rakyat di mana sebahagian besar daripada mereka tidak pernah ambil kisah tentang harga yang mereka bayar tetapi cepat-cepat membuat tuduhan kepada kerajaan dengan mendakwa bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap nasib rakyat.

4 Jika berlaku sedikit kenaikan harga barangan atau perkhidmatan, kerajaan akan cepat-cepat dipersalahkan walhal budi baik kerajaan yang selama ini menanggung sebahagian daripada perbelanjaan mereka tidak pula mendapat ucapan terima kasih.

5 Kita tidak bercakap tentang gaji atau upah. Gaji atau upah itu adalah hak
seseorang yang patut mereka dapat setelah mereka bekerja untuk suatu tempoh waktu tertentu. Tetapi berbeza halnya dengan subsidi. Subsidi hanyalah ihsan kerajaan untuk meringankan bebanan rakyat. Subsidi bukan satu tanggungjawab kerajaan apatah lagi sampai menjadi beban kepadanya.

6 Jika subsidi mahu dikekalkan juga tentulah yang patut menerimanya ialah mereka yang menyokong kerajaan. Alasannya mudah, subsidi menjadi semacam suatu bentuk balas budi kerajaan ke atas mereka yang mendokong dan menyokongnya. Tetapi apa yang berlaku kini semuanya mendapat subsidi termasuk penentang kerajaan.

7 Mereka menentang kerajaan, tetapi mereka mahukan subsidinya. Ini sudah tentu tidak patut.

8 Saya percaya pembangkang sudah bersedia untuk tidak menerima subsidi daripada kerajaan sebab itu mereka mengambil keputusan untuk menentang kerajaan. Apa yang mereka peroleh dari bumi Malaysia hasil dari keamanan dan kestabilan yang dikecapi di sini sudah mencukupi.

9 Mereka yang menyokong pembangkang sudah bersedia untuk membebaskan diri daripada kongkongan kerajaan terutama subsidinya. Mereka tentu tidak mahu dimalukan secara berterusan dengan sebelah tangan menuding terus kepada kerajaan sedangkan sebelah tangan lagi sedang mengira-ngira berapa subsidi yang masih mereka terima.

Hakcipta Abd Bashid Harun

3 comments:

Anonymous said...

Posting paling bangang tulis tak pakai hotak. Orang tak sekolah pun susah nak telan citer bangang ni. Mungkin manusia terencat akal macam kau bileh kot!

Abd Bashid said...

Saya ingat mereka bersikap terbuka dalam hal ini, rupa-rupanya mereka yang paling tidak dapat menerima hakikat jika subsidi ditarik balik. Jawapan untuk individu seperti ini ialah mereka hanya menjaga periuk nasi mereka sedangkan kerajaan menjaga seluruhnya-rakyat dan negara

zydasraf said...

Cikgu, kita perlu ingat bahawa apabila kerajaan memberi subsidi, ia bknla datang dari saku kerajaan, malah ia datang dari cukai, levi dan pelbagai fee yang dikenakan kerajaan kepada rakyat. Jadi apa masalahnya jika wang rakyat itu dikembalikan semula kepada rakyat..