TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Monday, December 25, 2006

Mengapa Tun Dr Mahathir?


SALAHKAH kalau Mahathir ? Saya memerlukan contoh yang hidup yang hadir di depan mata. Yang apabila orang bertanya saya boleh tunjukkan itulah orangnya. Dan kalau perlu saya akan berkata kepada mereka “pergilah kepadanya!’. Seperti sudah biasa kebanyakan kita memberi contoh yang sudah mati. Kadang-kadang yang mati itu pun bukan berada dalam lingkungan kita. Kita bercerita tentang kebaikan si mati sedangkan semasa hayatnya, kita tidak pernah mengambil peluang untuk belajar atau mengambil faedah daripadanya. Sedangkan masyarakat kita memerlukan contoh yang benar-benar hidup dan hadir di depan mata. Saya hidangkan tentang Tun Dr Mahathir untuk tatapan pembaca sebagai cara untuk saya membuktikan kesetiaan saya kepada negara ini.
Sebagai seorang Islam kita disuruh ikut nabi. Memang sedap bunyinya dan itulah yang sepatutnya. Tetapi realitinya yang diikut oleh manusia ialah ibu, bapa atau datuk mereka. Ataupun orang-orang di sekeliling mereka atau apa yang ditunjuk dan diberitahu oleh guru-guru mereka. Oleh kerana bapa dan ibu mereka telah melakukannya berulang kali, maka mereka pun turut melakukannya. Mereka melakukannya kerana mereka melihat datuk, nenek, ibu bapa dan masyarakat melakukannya. Apa yang mereka lakukan telah bertukar menjadi satu kepercayaan bahawa itulah yang betul dan patut mereka pertahankan. Kadang-kadang mereka tidak mempunyai pengetahuan pun tentang apa yang mereka percaya baik. Kalau adapun pengetahuan tentang sesuatu itu sangat sedikit. Mereka percaya kerana orang lain percaya. Noktah. Inilah hakikatnya yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu mengakui bahawa mereka bermazhab Syafie dari segi fekah dan beraliran ahussunnah waljamaah dari segi 'aqidah.
Sebagai contoh yang paling ketara dalam masyarakat Melayu ialah kepercayaan terhadap kahwin lebih daripada satu. Mereka mendakwa itu sunnah nabi. Tetapi sebenarnya apa yang berlaku mereka telah melihat ayah atau datuk atau orang yang paling hampir dengan mereka berkahwin lebih daripada satu. Itu sahaja. Jika perkahwinan itu ikut nabi tiada berlaku perpecahan dalam rumah tangga, tiada anak yang akan menderita dan tidak mengenali ayah mereka seperti yang dibayangkan oleh P Ramlee dalam filemnya Keluarga 69.
Justeru jika ada orang mempunyai pemikiran yang lain sedikit atau tidak melakukan seperti kebiasaan, orang itu akan dianggap ganjil dan ditolak secara perlahan-lahan. Mereka agak sukar untuk mengubah kepercayaan yang sudah lama sebati dan mendarah daging dalam kehidupan mereka walaupun kepercayaan itu tidak betul.

No comments: