TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Wednesday, May 30, 2007

ANAK-ANAK MEMANG SUKA MEMBANTU

ANAK-ANAK harus dilatih bermasyarakat sejak dari awal. Mereka suka bekerja sebenarnya, tapi menurut cara mereka dan bersama-sama. Bagi mereka, bekerja secara beramai-ramai semacam suatu pesta, bukan bebanan. Jadi apabila mereka menolong, mereka melakukannya dengan rela dan gembira, oleh itu jangan ada sesiapa yang meletakkan beban di bahu mereka. Mereka suka menilai antara mereka apabila melakukan sesuatu. Akan keluar daripada mulut mereka teguran ke atas rakan mereka. Berbalas-balas. Tapi jangan bimbang itu adalah normal. Itulah kemeriahan bagi mereka. Ibu bapa jangan campurtangan.Mereka ingin menjadi lebih rajin daripada yang lain. Apabila mereka sudah menolong jangan ada sesiapa yang mengikat tangan mereka dengan berkata ini tak boleh dan ini tak kena. Ibu bapa tak boleh mengikat mereka dengan aturan yang ketat. Beri mereka pilihan apa yang patut mereka bantu. Kita hanya mendorong dan memberi panduan supaya yang mereka lakukan itu betul dan tidak memudaratkan sama ada diri mereka, orang lain atau barangan yang digunakan. Cuti sekolah adalah masa yang sesuai untuk menanamkan ciri-ciri kejiranan dan bermasyarakat ke dalam hati anak-anak kita. Kerana pada waktu ini banyak kenduri. Dari kenduri kahwin sehinggalah kenduri kesyukuran, kenduri arwah, doa selamat, parti dan jamuan. Pada waktu itu jangan ada tabiat mengurung anak-anak di rumah. Jangan kasihankan mereka apabila mereka bersungguh-sungguh membantu. Tapi beri sedikit pujian, makanan atau sedikit ganjaran untuk itu. Jangan buat apa-apa janji sebelumnya. Beri ganjaran berpatutan menurut nilai kerja mereka.Itu tak salah sebagai menunjukkan kerja yang baik memang disukai orang dan akan diberi perhatian.

No comments: