TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Saturday, June 9, 2007

CUTI: MASA UNTUK MENGUKUH IKATAN KELUARGA

SEKARANG musim cuti sekolah. Saya hanya ada dua pilihan, sama ada untuk terus tinggal di rumah atau membawa ahli keluarga bercuti. Pilihan pertama itu kehendak saya, bukan kehendak isteri dan akan-anak saya. Sebagai orang yang sudah berumur, saya lebih selesa untuk berehat di rumah sahaja setelah penat bekerja. Tetapi jika saya memilih yang pertama ternyata saya berfokuskan diri sendiri. Saya menang tetapi yang lain kalah.Tetapi pilihan kedua adalah pilihan keluarga. Sebagai kepala keluarga saya boleh sahaja menggunakan autoriti saya untuk menetapkan bahawa pilihan saya patut menjadi keutamaan. Tetapi jika itu menjadi pilihan, saya hanya berjaya mententeramkan mulut mereka, tetapi bukan hati mereka.Tetapi saya sebagai salah seorang daripada ahli keluarga, saya turut dimiliki oleh mereka. Di sini saya bukan satu-satunya tetapi sebahagian sahaja. Sekarang keputusan harus ditentukan dengan cara bermesyuarat di mana semua mesti terlibat termasuk anak saya yang berumur 8 tahun itu. Mereka semua adalah ahli mesyuarat keluarga. Oleh kerana melancong itu adalah aktiviti keluarga, maka saya memutuskannya untuk mengikut keputusan ahli syura, iaitu keluarga saya. Bukan sahaja saya, malahan semua ahli keluarga mesti akur dengan keputusan mesyuarat keluarga itu. Ternyata pilihan keluarga yang menang. Cerita saya ini sebagai iktibar kepada semua kaum bapa bahawa kita bukanlah satu-satunya dalam keluarga kita. Ada orang lain yang mesti ambil bahagian, iaitu isteri dan anak-anak kita. Amalan kebiasaan kaum bapa ialah menentukan apa yang mereka mahu dan seterusnya semua ahli keluarga ikut sahaja kemahuan kita. Tapi sudah sampai masanya aktiviti keluarga diputuskan dalam mesyuarat keluarga. Cuti adalah masa yang sesuai untuk mengikat seluruh ahli keluarga. Tying Members of Family By Continuosly Binding. Melancong adalah salah satu daripada aktiviti untuk refresh ikatan itu.

No comments: