TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Sunday, June 3, 2007

SEKALI MENGIKAT SELAMANYA MENGIKAT

TEMA dan topik yang saya muatkan dalam blog ini semuanya berkaitan dengan ikatan. Banyak jenis ikatan yang perlu dilalui dalam hidup ini dan semua ikatan itu menuntut satu tanggungjawab untuk menjaganya. Sebagai contoh ikatan persahabatan, ikatan persaudaraan, ikatan kekeluargaan melalui amalan kekeluargaan (family practice), ikatan pertunangan, ikatan perkahwinan, ikatan kejiranan dan ikatan perdamaian. Selain ikatan yang subjektif ini, kita sering melakukan pelbagai aktiviti mengikat (tying) dengan pelbagai tujuan. Tetapi semua ini hanya bermakna jika dilakukan dengan satu objektif murni iaitu untuk sebuah ikatan kasih sayang. Sebab itu saya berpegang kepada falsafah ikat dahulu sebelum pikat. Yang kita ikat ialah sesuatu dan yang yang kita pikat ialah hati. Aktiviti ini boleh dilakukan oleh semua orang dan untuk orang-orang yang disayangi. Seperti isteri mengikat tali leher suami, isteri mengikat tali kasut suami, suami mengalungkan rantai ke leher isteri atau ibu, suami memakaikan gelang ke pergelangan tangan isteri, mengikat simpulan benang oleh adik kepada abang yang dikenali sebagai rakhi dalam tradisi India, dan menyarungkan cincin ke jari manis oleh suami atau anak. Selain itu, saya juga membawa konsep ikatan yang lebih luas iaitu ikatan sesama manusia yang menjadi tuntutan fardu kifayah dan ikatan dengan Tuhan yang menjadi tuntutan fardu 'ain. Tegasnya setiap hari kita tidak dapat lari daripada "mengikat". Sekali kita mengikat, selamanya kita mengikat. Ingat sekali kita cuba melepaskan ikatan itu, Tuhan tak pernah melepaskan ikatan-Nya dengan manusia.

No comments: