TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Saturday, June 2, 2007

TIADA SIAPA YANG BEBAS

BURUNG selalu dijadikan simbol kebebasan. Tetapi burung pun terpaksa turun ke ranting-ranting kayu atau tanah untuk mencari makanan. Ternyata burung yang dijadikan lambang kebebasan pun tidak benar-benar bebas. Sebenarnya setiap orang diikat oleh agamanya, kepercayaan dan undang-undang. Sebagai contoh kita mungkin berminat untuk untuk terus bekerja, tetapi kerana diikat oleh agama kita mesti berhenti kerana kita perlu mengerjakan sembahyang. Sebagai pelajar anda mungkin berminat untuk bangun lewat pada setiap pagi, tetapi peraturan sekolah menghendaki anda sampai ke sekolah sebelum jam 7.30 pagi. Kita berminat dengan permata yang terdapat di dalam almari kaca di sebuah kedai emas, tetapi kita tidak boleh mendapatkannya melalui cara yang salah seperti mencuri. Begitulah setiap orang diikat oleh undang-undang dan peraturan. Anda mungkin berminat untuk berkerja terus-terusan tetapi sebagai ibu, bapa, isteri, suami, anak, jiran, ahli masyarakat, rakyat kepada sesebuah negara kita ada tanggungjawab lain iaitu kepada orang-orang di sekeliling kita. Kita tidak boleh menggunakan satu alasan agama untuk mengelakkan satu alasan agama yang lain. Contohnya kita menggunakan alasan untuk tidak belajar mengaji kerana kita terlalu letih berpuasa. Rasulullah s.a.w. pernah menegur sahabat yang tidak mahu pergi berperang dengan menggunakan alasan menjaga tanah air daripada diceroboh musuh. Begitulah keadaan kita tidak benar-benar bebas. Kita tidak semestinya mendapat apa yang kita hendak. Agama, perlembagaan, undang-undang, peraturan, etika, budaya dan adat. Itulah antara faktor yang membatasi kemahuan kita. Dan jika kita ingin bebas, pastikan kebebasan yang diingini mestilah dalam lingkungan dan batasan agama.

No comments: