TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Friday, June 1, 2007

TERMETRAILAH SEBUAH IKATAN PERKAHWINAN


Sekarang musim cuti sekolah. Seperti biasa, musim cutilah aktiviti mengikat rancak dijalankan. Maksud saya ialah aktiviti mengikat tali perkahwinan. Mengikat tali perkahwinan adalah sunnah rasulullah s.a.w. Tetapi hukum yang asalnya harus boleh sahaja menjadi wajib, makruh malahan haram.Itu bergantung kepada tahap kehidupan dan kesihatan pasangan yang terlibat. Apabila berlakunya ijab dan qabul, bererti rasmilah pasangan wanita dan lelaki menjadi suami isteri yang sah. Tetapi mengikut tradisi perkahwinan masyarakat Melayu, majlis akad nikah itu kurang sempurna sekiranya tidak diadakan upacara membatalkan air sembahyang di mana pengantin lelaki akan menyarungkan cincin ke jari manis pengantin perempuan. Ini hanyalah merupakan aktiviti simbolik atau lambang tentang betapa pentingnya ikatan perkahwinan itu. Dalam islam memang banyak aktiviti simbolik dijalankan, terutamanya dalam pelaksanaan ibadat haji yang menjadi rukun Islam yang kelima. dari tawaf di kaabah, sai dan melontar jamrah, semuanya merupakan pergerakan-pergerakan simbolik. Jadi bolehlah disimpulkan walaupun aktiviti mengikat atau menyarung itu aktiviti simbolik tetapi besar maknanya kepada kasih sayang dan hubungan sesama ahli keluarga, jiran, masyarakat, negara dan dunia.

No comments: