TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Monday, December 25, 2006

Makna Di Sebalik Sukan


SELAIN membangunkan prasarana yang tercanggih, kerajaan era-Mahathir turut memberikan perhatian penting dalam bidang sukan. Dr. Mahathir sendiri dikatakan tidak berminat dengan permainan golf, tetapi pada zaman beliau padang dan prasarana golf dibangunkan bagai cendawan tumbuh di musim hujan. Kejayaan negara menganjurkan Sukan Komanwel ke-16, kejohanan bertaraf dunia membuktikan kemampuan anak Malaysia dalam bidang ini. Setelah itu satu demi satu penganjuran sukan antarabangsa berlangsung di Malaysia. Contohnya kita telah beberapa kali menganjurkan kejuaraan Formula Satu di Litar Sepang, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
Semangat Malaysia Boleh disemarakkan lagi dengan pencapaian Malaysia dalam beberapa acara sukan mutakhir ini seperti dalam acara skuasy, boling dan renang. Kalau selama ini ada di kalangan kita tidak ambil tahu sama sekali tentang sukan, kini mereka mula tertarik dengan bidang yang dapat menceriakan seseorang. Sukan adalah tajuk yang selamat untuk dibualkan.
Anda mungkin tidak berminat dengan sukan sebelum ini, tetapi apabila anda mengetahui bahawa yang sedang bertanding di perlawanan akhir itu melibatkan peserta dari Malaysia, tiba-tiba sahaja perasaan anda berubah. Seluruh jiwa anda dikirimkan kepada peserta itu. Anda mula meletakkan harapan agar peserta dari Malaysia itu menang. Anda menonton perlawanan itu dengan penuh debaran. Anda takut kalau-kalau peserta itu kalah. Sesekali anda membentak jika peserta itu gagal mempamerkan persembahan yang meyakinkan. Anda melakukan semua ini untuk peserta itu bukan untuk tujuan-tujuan yang lain.
Anda tidak ada kepentingan peribadi dengan ahli sukan itu. Dia juga tidak ada kepentingan dengan anda. Anda dan ahli sukan itu tidak mengenali antara satu sama lain. Tetapi dalam sukan hubungan hati ke hati tetap terjalin walaupun anda tidak saling mengenali antara satu sama lain. Apa yang anda harapkan ialah peserta itu menang. Anda tidak perlu ambil tahu apakah pendirian politik, kelulusan dan agamanya. Yang penting ia sama dengan anda, iaitu dari Malaysia. Anda sanggup melupakan sebentar pendirian politik anda, begitu juga perbezaan bangsa dan agama anda. Ini hanya boleh dilakukan melalui sukan. Inilah makna di sebalik sukan yang kita selalu anjurkan. Inilah keceriaan bidang sukan, yang sukar diperoleh dalam bidang yang lain. Sebab itu formula penyatuan melalui sukan seperti yang dilaung-laungkan oleh kerajaan memang ada kewajarannya dan perlu diteruskan.
Semangat Malaysia Boleh dimanfaatkan sepenuhnya dalam bidang sukan. Kalau dahulu kita hanya ada satu tumpuan dalam bidang sukan, iaitu mengejar pingat, tetapi kini kita juga berminat untuk menganjurkan sukan. Kita melihat sukan sebagai satu perniagaan yang menguntungkan. Sebab itu bidang sukan era-Mahathir naik setakah lagi dengan memberi tumpuan kepada aspek penyediaan peralatan dan gelanggang sukan yang bertaraf dunia dan penganjuran sukan di peringkat antarabangsa.
Mengapa sukan diberikan tumpuan? Sebabnya sukan mengajar kita mengejar kemenangan, tetapi sebelum kemenangan dicapai, kita harus bekerja keras untuk mendapatkannya. Ini digambarkan melalui acara larian, lompatan, rejaman, kayuhan dan lain-lain.
Dalam sukan tidak ada situasi menang-menang. Apa yang ada ialah pihak lawan mesti dikalahkan. Maknanya saya mesti menang dan yang lain kalah. Kita berlari untuk menang, kita melontar untuk menang dan kita melompat juga untuk menang. Tidak ada sesiapa pun di kalangan ahli sukan yang melakukan semua ini untuk kalah. Tentulah tidak wajar jika seseorang ahli sukan berkata bahawa mereka menyertai sesuatu perlawanan hanya untuk menimba pengalaman atau sekadar untuk suka-suka.
Melalui acara sukan seseorang itu dilatih meletakkan satu matlamat tertentu. Matlamat itu mestilah jelas. Maksudnya boleh dicapai dan realistik. Ini digambarkan melalui garisan penyudah dalam acara larian. Kebanyakan acara sukan memerlukan seseorang itu berlari. Dalam perlawanan bola sepak, pemain berlari untuk mengejar bola. Begitu juga dalam acara badminton, hoki dan sebagainya, semuanya memerlukan larian.
Berlari melambangkan kepantasan dan kekuatan. Untuk mengejar sesuatu kita mesti pantas. Jika tidak, orang lain akan mendahului kita. Kita tidak boleh berjalan ketika orang lain berlari. Apabila kita berlari lakukanlah sepantas yang mungkin, jika tidak, kita tetap ketinggalan. Situasi ini boleh diterjemah dalam kehidupan moden. Kehidupan moden memerlukan kita bergerak pantas. Ketika semua orang berlari mengejar kemajuan, kita kena berlari. Jika kita masih berjalan, kita akan tetap ketinggalan. Sambil berlari sepantas yang mungkin, kita perlu melakukan lompatan sejauh yang mungkin.
Apabila kita gagal mengejar orang di hadapan, tidak perlulah kita menjerit kepada orang itu, tunggu aku! Tetapi kitalah yang mesti mengejar mereka yang seolah-olah menjerit ke arah kita kejar aku! Maksudnya kita tidak perlu menangguhkan atau menghentikan perjalanan sesiapa, semata-mata untuk membenarkan orang di belakang bersaing atau memotong kita.
Masalahnya, sebahagian daripada kita bukan sahaja tidak berlari, berjalan pun tidak mahu. Maksudnya tidak berbuat apa-apa pun. Mereka inilah nanti yang akan ketinggalan menjelang tahun 2020. Pada waktu itu, ketika orang lain menuai hasil yang lumayan, orang-orang ini pula tetap di takuk lama. Mahukah kita menjadi seperti sang pungguk rindukan bulan, sedangkan orang lain sudah lama ke bulan.

No comments: