TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Monday, December 25, 2006

Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad

Y.A.Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia yang dikasihi mempunyai ketajaman dan kualiti pemikiran yang kadang-kadang sukar dijangkau oleh orang lain, termasuk oleh para pemimpin UMNO sendiri. Kekuatan pemikiran beliau terletak pada kesan positif yang ditunjukkan daripada tindakan atau kerja-kerja yang dilaksanakan daripada pemikiran tersebut. Walaupun pada peringkat awal pemikiran yang dicetus oleh beliau dilihat sebagai ganjil oleh sesetengah pihak, namun beberapa tahun selepas itu, keganjilan iu terpadam lalu digantikan dengan kebenaran yang tidak dapat disangkal lagi. Ini membuktikan betapa pemikiran beliau dijelmakan daripada hati yang bersih dan ikhlas, yang bukan didorong oleh kebencian atau kemarahan beliau terhadap sesuatu atau seseorang. Idea yang diterjemahkan melalui tindakannya yang berani dan berorientasikan masa depan ( futurisitik ) menggambarkan betapa beliau seorang yang ingin melihat Malaysia dan rakyatnya maju dalam pelbagai bidang setanding dengan negara-negara maju yang lain. Selain itu, beliau ingin memelihara keamanan dan perpaduan yang telah wujud selama ini di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Hasil pemikiran beliau yang bitara dan murni itu telah membuahkan hasil apabila satu demi satu kejayaan dicapai oleh Malaysia dalam pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan, sukan dan sebagainya. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kejayaan Malaysia hari ini adalah sinonim dengan Dr. Mahathir sendiri. Dalam era Mahathir cabaran yang dihadapi oleh beliau lebih hebat daripada sebelumnya malah sama banyak dengan kejayaan yang dicapainya, tetapi berkat kebijaksanaan beliau dalam menangani cabaran yang mendatang, cabaran-cabaran itu berjaya juga diatasi dengan cara tersendiri. Beliau mempunyai pendekatan dan cara tersendiri dalam menyelesaikan sesuatu masalah, dan tidak terikat dengan cara yang lama atau cara orang lain. Sebagai seorang doktor beliau menggunakan cara beliau sendiri yang dinamakan Formula Mahathir. Di sinilah kekuatan yang ada beliau sehingga beliau masih boleh bertahan sebagai Perdana Menteri meskipun rakan-rakan sejawatan dengannya di kebanyakan negara jiran telah silih berganti. Walaupun telah berusia lebih daripada 80 tahun, namun tidak nampak tanda-tanda yang menunjukkan pemikiran beliau sudah merosot. Sebab itu adalah wajar pemikiran beliau, termasuk sikap, pandangan, pendirian dan tindakan-tindakan Perdana Menteri keempat ini diberi perhatian yang mendalam dan menuntut satu usaha untuk mengupas kekuatan dan rahsia di sebalik pemikiran itu.

1 comment:

cilired said...

tepat aper yg saudara nyatakan...