TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Tuesday, December 26, 2006

Selesaikah Masalah Di Mulut Seorang Pendebat?


DARI dahulu lagi PAS suka berdebat. Mereka melihat debat sebagai satu cara untuk menunjukkan kebenaran, dan untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka. Sebaliknya kerajaan tidak suka berdebat. Kerajaan suka buat atau laksanakan sesuatu. Sebab itu dari dahulu lagi debat tidak pernah dijadikan satu alternatif apabila berdepan dengan pembangkang. Jika adapun ia bukan dibuat oleh kerajaan per se, tetapi oleh pertubuhan atau individu tertentu dalam kerajaan.
Perdebatan atau ringkasnya debat mungkin sesuai sebagai acara, tetapi bukan cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Debat adalah saluran yang ditunggu-tunggu oleh pihak yang tidak berpuas hati untuk menghentam lawan mereka sepuas-puasnya. Sementara satu pihak menyenaraikan kelemahan-kelemahan lawan, satu pihak lagi akan bersedia dengan alasan-alasan. Hanya sekadar itu.
Kemudian para penonton yang taasub akan bersorak sambil mengetawakan pendebat yang tidak berjaya membalas hujah lawan mereka. Tepukan mereka akan lebih bergemuruh kalau lawan dapat dibisukan dan dimalukan. Sebabnya, inilah satu-satunya keseronokan yang diharapkan oleh mereka daripada sesuatu perdebatan.
Perdebatan hanyalah cara yang dituntut oleh orang yang ada kelebihan bercakap, tetapi tidak ada kelebihan-kelebihan lain. Hakikatnya, perdebatan tidak akan mengubah apa-apa. Perdebatan tidak akan menyebabkan tanah yang tergadai terbang menemui tuannya semula. Perdebatan tidak akan menyebabkan tanah yang ditumbuhi lalang tiba-tiba tertanam dengan sendirinya. Perdebatan tidak akan menjadikan orang yang malas bekerja rajin. Tidak. Perdebatan hanya sesuai untuk orang yang lebih mendominasi mulutnya daripada kedua-dua telinganya.
Di luar, saudara memusuhi lawan saudara, tetapi tidak ada alasan wajar untuk saudara membalas dendam terhadapnya. Tetapi melalui perdebatan saudara boleh melepaskan seluruh dendam saudara itu dan yang pasti tidak akan ada sesiapa yang membantah tindakan saudara itu.
Alasannya mudah, perdebatan adalah bentuk peperangan yang dibenarkan. Di medan debat tidak ada sesiapa yang tercedera, apatah lagi terkorban. Orang yang kalah dalam perdebatan masih boleh bangkit semula. Dengan sepatah kata yang jitu dan beremosi ia masih boleh memalukan lawannya. Ini semua dapat dilakukan dengan cara-cara yang tidak begitu ketara, tetapi cukup untuk mengajar lawan. Bunyinya seperti kurang senonoh, tetapi hal semacam ini boleh sahaja dimaafkan dalam sesuatu perdebatan.
Terdapat dua golongan yang tidak layak berdebat, bukan kerana mereka lemah, tetapi debat adalah saluran yang tidak sesuai langsung untuk mereka. Pertama, mereka yang banyak idea bernas untuk diketengahkan dan kedua, mereka yang mempunyai budaya action (tindakan) dan berorientasikan hasil.
Bayangkanlah, saudara telah menyusun beberapa idea yang bernas dan alasan-alasan yang jitu, tiba-tiba dengan satu hujah yang beremosi, hujah-hujah saudara tenggelam begitu sahaja.
Bayangkanlah, saudara dan kumpulan saudara telah membangunkan negara ini berpuluh-puluh tahun lamanya, tiba-tiba sahaja saudara "dikalahkan" dengan satu perdebatan bodoh yang memakan masa beberapa jam sahaja.
Di mulut seorang pendebat cerita seinci akan menjadi sekaki seperti peribahasa air setitik dilautkan, tanah sekepal digunungkan. Di mulut seorang pendebat cerita yang sepatutnya dikatup akan dibuka semula. Begitulah sebaliknya. Keadaan yang sudah betul akan menjadi kelam-kabut hanya kerana bicara seorang pendebat.
Kerajaan Malaysia dari dahulu lagi tidak pernah memilih perdebatan jauh sekali kekerasan atau paksaan dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau membuat sesuatu keputusan.
Semua ini hanya mampu dilakukan oleh pendebat, bukan orang lain. Tetapi yang nyata dunia tidak berubah di mulut para pendebat. Sebab itu dunia hampir-hampir tidak memerlukan seorang pendebat pun. Jika pendebat itu penting, sudah lama jawatan itu diwujudkan, tetapi ternyata tidak.
Dalam al-Quran debat disebut sebagai mujadalah. Ini terkandung dalam satu ayat yang bermaksud, " dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang bijaksana." Berdebat sudah menjadi fiil amar atau disuruh oleh Tuhan. Tetapi hanya menjadi pilihan terakhir setelah kedua-dua cara sebelum ini tidak begitu berkesan, iaitu menyeru dengan cara yang penuh kebijaksanaan (bil-hikmah) dan menunjukkan contoh yang terbaik (mau 'izatil hasanah).
Perdebatan adalah tempat berhimpunnya penyokong yang fanatik yang melihat bahawa masalah dunia ini boleh diselesaikan melalui lidah yang tidak bertulang. Sedangkan yang lebih menonjol daripada sesuatu perdebatan hanyalah kebolehan bercakap dan mematahkan hujah lawan, bukan sangat hendak mencari jalan penyelesaian.
Pendebat yang berjaya menarik perhatian pendengar atau penonton bukanlah pendebat yang mempunyai isi pun. Tetapi pendebat yang berjaya ialah pendebat yang bijak bermain dengan emosi dan kata. Itu pun setakat waktu itu atau beberapa hari selepas itu. Masuk minggu kedua atau selewat-lewathya bulan kedua orang sudah melupainya. Sebab itu orang yang biasa berdebat, akan terus mengajak sesiapa sahaja berdebat lagi, dan lagi, dan lagi kerana dengan cara itu sahajalah ia memperbaharui (refresher) keyakinan penyokong-penyokong terhadap dirinya. Atau lebih luas terhadap organisasi yang diwakilinya.
Mereka mempunyai banyak masa untuk ini. Sedangkan masa saudara lebih diperlukan untuk yang lain. Inilah satu-satunya kelebihan yang ada pada mereka yang tidak saudara miliki. Sebab itu mereka mengidamkannya, sambil cuba mempertahankannya.
Jika mereka tidak dapat berdebat secara formal, mereka akan berdebat di mana-mana sahaja, tidak terkecuali di kedai-kedai kopi atau di kantin, sambil berdiri atau duduk. Jika tidak ada sesiapa yang hendak berdebat dengan mereka, mereka akan berdebat sesama sendiri. Biasanya mereka akan menjadikan seseorang sebagai sasaran atau sesuatu isu sebagai bahan. Kemudian mereka akan ketawa bersama.
Ini berbeza dengan saudara. Saudara ada banyak kelebihan lain. Saudara tidak perlu risau tentang ini. Cuma kelebihan saudara baik untuk dilihat, bukan sedap untuk didengar.
Sayangnya kelebihan yang ada pada saudara dan orang-orang seperti saudara seolah-olah tidak dipedulikan di sini kerana di sini orang sudah membuat keputusan untuk menolak saudara walau sehebat manapun diri saudara. Saudara mungkin seorang doktor, atau seorang akauntan, tetapi jika saudara tidak petah berkata-kata saudara mungkin tidak diterima di sini. Di sini orang masih boleh disogokkan dengan kata-kata, tidak seperti di negara maju yang rakyatnya lebih terbuka, bukan sahaja mata tetapi fikiran.
Di sini, satu pihak berfikiran terbuka, tetapi pihak yang berfikiran sempit atau tertutup masih ramai dan masih mendominasi suasana. Golongan ini mengasaskan sesuatu kepada lidah mereka ketimbang tindakan mereka. Ini dapat dibuktikan apabila hampir keseluruhan aktiviti yang mereka jalankan berpusatkan lisan seperti ceramah, kuliah, syarahan, forum, debat dan muzakarah. Hidupnya puak ini adalah kerana kata-kata, sedangkan dalam tindakan, mereka masih teraba-raba. Kadang-kadang pihak yang dicerca jauh lebih baik daripada mereka.
Sebagai bukti mereka berfikiran tertutup, mereka awal-awal lagi sudah membuat keputusan untuk menolak pihak yang satu lagi sebelum berdebat. Selepas perdebatan pun mereka akan kekal dengan pendirian mereka walau apapun hasilnya. Mereka dari jenis ini hanya membaca akhbar sendiri dan memulaukan akhbar-akhbar lain yang mereka namakan akhbar kerajaan. Mereka memulaukan media elektronik milik kerajaan, walaupun mereka sendiri belum memiliki satelit dan stesen tv sendiri.
Yang anehnya di suatu segi yang lain mereka cukup terbuka dan membuka diri mereka untuk dipengaruhi oleh orang lain. Mereka mendapat maklumat daripada media-media Barat yang taukehnya adalah Yahudi dan Nasara, dan dengan bangganya menggunakan saluran internet untuk menghentam saudara mereka sendiri. Dan mereka lebih percaya kepada berita-berita seperti ini.
Pendek kata, mereka hanya mendapat maklumat daripada akhbar mereka, orang-orang mereka, para pemimpin mereka dan daripada musuh-musuh kita yang kini menjadi kawan mereka. "Musuh kepada lawan kamu adalah kawan kamu " dimanfaatkan sebaik mungkin. Inilah tipa orang yang akan berdebat dengan saudara. Inilah juga kinda para penyokong mereka yang taasub itu.
Lebih jauh daripada itu ada orang yang menjadikan perdebatan sebagai periuk nasi mereka. Merekalah yang paling kecewa jika perdebatan dibatalkan. Sebab itu merekalah yang paling kuat mendesak agar perdebatan diteruskan dengan apa cara sekalipun, termasuk mengapi-apikan lawan konon-kononnya pihak lawan pondan, bacul dan penakut.
Mereka akan berkata apa sahaja terhadap pihak lawan kerana guru-guru mereka yang sibuk berpolitik tidak sempat menegur mereka yang berkata begitu. Malahan guru-guru mereka telah berkata yang lebih teruk daripada itu. Mereka sudah pernah berkata puki mak, tentu tidak sukar bagi mereka berkata-kata apa-apa sahaja yang lebih buruk daripada itu terhadap lawan-lawan mereka. Mereka mempunyai lesen yang cukup besar untuk berkata apa sahaja setelah guru kepada guru-guru mereka tadi berani menyatakan Allah pun mencarut.
Mereka sentiasa berpaut pada jubah guru mereka dan mengikut ke mana sahaja guru mereka pergi. Malangnya ketika berpaut itu mata mereka tertutup. Jika guru terjun longkang, mereka akan terjun bersama.
Mereka tidak pentingkan soal cara lagi asalkan mereka boleh merakamkan debat itu, kemudian menerbitkannya sama ada dalam bentuk kaset, CD atau VCD, kemudian mereka menjualnya. Maka panjanglah rezeki mereka.
Ramai orang percaya pendebat yang baik ialah pendebat yang mempunyai kepintaran akal. Memang benar, tetapi itu hanya sebelum mereka berdebat. Apa yang berlaku, mereka membawa akal bersama-sama mereka, tetapi disebabkan kepanasan berdebat sebahagian daripada mereka hampir-hampir terlupa menggunakannya. Kadang-kadang mereka sengaja meninggalkannya di luar dewan bagi memastikan mulut mereka lebih laju daripada biasa.
Pendebat selalu merasakan musuh sebenar mereka ialah lawan mereka. Tetapi mereka terlupa musuh terdekat bagi seseorang pendebat ialah akal mereka sendiri kerana akal akan membataskan lidah mereka. Sebab itu mereka lebih suka bersahabat dengan lisan mereka ketimbang akal mereka kerana lidah tidak pernah menyekat atau menghalang kemahuan mereka. Lidah mereka akan sentiasa membenarkan. Dan inilah yang mereka mahu.
Jika orang kebanyakan melihat dunia melalui mata kasar dan orang alim melihat dunia melalui mata hati, para pendebat pula melihat dunia melalui mulut-mulut mereka yang sentiasa ternganga.
Perdebatan yang asalnya digunakan oleh ahli-ahli falsafah untuk mempertahankan pemikiran mereka, yang kemudiannya dimurnikan oleh para ulamak untuk membahaskan sesuatu masalah agama dan perbandingan mazhab, kini bertukar menjadi suatu pembohongan yang dipelihara oleh orang yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak pandai bertindak untuk menutup kelemahan sedia ada.
Jika ingin mencari jalan penyelesaian, cara-cara lain adalah lebih tepat. Apatah lagi kalau ia melibatkan perkara-perkara strategik dan yang menyangkut kepentingan atau keistimewaan sesuatu kaum. Dalam debat kita membuka semuanya, sedangkan lebih bijaksana jika sebahagiannya disimpan sahaja.
Sebagai contoh, jika terdapat bukti bahawa Tanah Simpanan Melayu di tempat-tempat tertentu telah dimajukan tanpa mengikut perundangan, laporkan sahaja kepada Badan Pencegah Rasuah. Jika ada pendapat bagaimana hendak memajukan orang-orang Melayu dengan cara yang lebih baik daripada cara yang ada sekarang, tuliskankan syor-syor yang membina dan serahkannya kepada kerajaan. Tak perlu diperdebatkan, lainlah kalau anda ada niat-niat yang lain.
Jika debat masih menjadi pilihan, sedangkan cara-cara lain masih ada itulah bukti yang anda tidak percayakan orang lain. Tidak percaya kepada orang lain dan mendakwa pendapat aku sahaja yang betul adalah penyakit orang yang suka berdebat.
Pendebat hanya percaya kepada diri sendiri. Jika tidak, masakan mereka memilih debat. Oleh kerana itu jawapan yang sesuai diberikan kepada pendebat ialah mereka sebenarnya tidak boleh dipercayai langsung. Mereka adalah kawan yang perlu dielakkan. Alasannya diri anda dilihat sebagai subjek yang sesuai untuk diperdebatkan. Walaupun pendebat suka berdebat, tetapi mereka paling tidak suka jika ada orang lain berdebat tentang diri atau idea mereka. Mereka akan cepat-cepat mematahkannya. Jika anda ingin menjadi sahabat baik dan kekal dengan seseorang pendebat, saudara harus mengangguk sahaja atau mengiyakan apa sahaja yang dikatakkan olehnya. Dengan cara itu pendebat akan sentiasa berasa dirinya betul dan tidak boleh dicabar. Sebab itu pendebat jika boleh ingin berdebat seorang diri. Tetapi ini tidak pernah dibuat orang. Itulah sebabnya mereka lebih suka berceramah daripada berdebat. Sebenarnya ceramah itulah yang paling digemari oleh kumpulan seperti ini kerana dengan cara itu hanya mereka yang bercakap dan penonton mendengar sahaja.
Bagi mereka yang ada idea bernas dan bitara lebih baik menulis. Tetapi inilah yang paling dihindari oleh para pendebat. Mulut yang biasa dibuka, hampir tidak berguna langsung apabila menulis. Inilah sebabnya mereka kurang terdorong untuk menulis. Lagipun menulis tidak akan menjadikan mereka cepat popular, sedangkan populariti adalah sifat yang paling penting yang diperlukan oleh ahli-ahli politik seperti mereka.
Menulis hanya menonjolkan idea bukan penulis itu sendiri. Sebab itu menulis tidaklah menarik buat mereka berbanding bercakap kerana dengan itulah mereka dapat menonjolkan diri mereka. Dan yang lebih tertonjol ialah lidah mereka. Sebab itu mereka tidak akan menyimpan lidah mereka selagi mereka boleh menggunakannya.
Apabila saudara menulis, saudara memerlukan masa yang berkualiti untuk itu. Saudara terpaksa berfikir sebelum dan semasa menulis, sambil itu saudara perlu membelek-belek dan meneliti beberapa bahan rujukan. Bukankah ini menyakitkan bagi yang tidak biasa melakukannya. Sebab itulah tidak ada sebuah buku pun yang dihasilkan oleh para pendebat. Kalau ada pun buku yang diterbitkan ia adalah hasil susunan daripada aktiviti-aktiviti yang berasaskan lisan seperti contoh yang saya kemukakan tadi bukan hasil disiplin penulisan yang sebenar.
Perdebatan adalah tempat yang paling subur untuk menyemai bibit-bibit kesombongan, riya' dan bangga diri. Daripada tanduk perdebatan akan terkeluar fitnah, dzan, syak dan memandang rendah terhadap orang lain. Jika di medan jihad, para malaikat stand by untuk membantu pasukan yang benar, tetapi di medan debat, syaitan-syaitan besar berada di merata-rata dan menunggu-nunggu masa yang sesuai untuk membantu, bukan sahaja yang benar tetapi juga yang palsu. Atas alasan itulah orang-orang yang warak selalu menghindari perdebatan yang sangat terdedah kepada fitnah lisan ini. Mengapa saudara masih mencarinya jika saudara tiada sifat-sifat yang disebutkan tadi. Kesombongan orang yang berdebat lebih menonjol apabila ada di kalangan mereka yang memilih-milih lawan mereka. Konon-kononnya lawan-lawan yang dihantar tidak cukup hebat atau setanding untuk berdepan si anu dan si anu. Mengapa tidak hantar orang kuat saudara? Mengapa hantar pengikut sahaja? Jika orang yang diharapkan gagal hadir, mereka dan penyokong-penyokong mereka akan menuduh bahawa orang tersebut pengecut (atau apa-apa sajalah). Apakah namanya semua ini kalau bukan sombong, riya' dan bangga diri. Sebagai pendebat saudara boleh saja menafikan dengan mendakwa bukan saudara yang mengingini semua ini, tetapi saudara tidak boleh berbohong kepada dunia bahawa tindakan-tindakan saudaralah yang menyebabkan lahirnya penyokong yang sebegitu. Dan jiwa saudara pun membesar dengan penyokong-penyokong seperti itu. Tetapi ingat! Jika hari ini saudara bangun bersama mereka, tidak mustahil pada masa akan datang saudara tersungkur kerana mereka.

1 comment:

Anonymous said...

Terima kasih penulis.

Tidak pernah saya terfikir akan semua ini...