Tidak Ada Masa Yang Sesuai-Yang Sesuai Ialah sekarang
Orang yang rugi tidak menghimpun sebarang pengalaman dalam sepanjang tempohnya bekerja. Ramai pula yang mendakwa oleh kerana hidupnya lebih lama, ia menghimpunkan lebih banyak pengalaman. Ungkapan seperti “aku lebih dulu makan garam”, “kamu budak hingusan” dan “baru setahun jagung” selalu sahaja digunakan oleh orang seperti ini untuk menunjukkan bahawa mereka mempunyai pengalaman yang lebih daripada orang lain.Tetapi sebenarnya apa yang dimaksudkan ialah mereka menghimpunkan satu tahun pengalaman yang diulang-ulangnya untuk sepuluh atau dua puluh tahun yang akan datang. Jika orang biasa-biasa menghimpunkan pengalaman yang sama banyak dengan usia mereka, orang yang luar biasa seperti Tun Dr Mahathir pula mengimpunkan lebih sekali ganda pengalaman berbanding jangka hayatnya. Inilah orang yang benar-benar memanfaatkan seluruh ruang kehidupannya dan menjadikan pengalaman pertama yang dilaluinya sebagai teladan atau sempadan.
Tun Dr Mahathir bin Mohamad tidak menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Baginya tidak timbul masa ini lebih baik daripada yang lainnya atau masa ini lebih buruk daripada sebelumnya. Baginya setiap detik yang diberi adalah kurniaan Allah yang sangat berharga untuk dimanfaatkan. Dan sesiapa yang memenuhinya dengan pekerjaan yang berfaedah, mereka tidak akan mengalami kerugian. Yang pentingnya ialah mengapa ia bertindak seperti itu. Beliau tidak akan menangguh ke suatu masa yang sesuai untuk bertindak. Beliau selalu bertanya apakah yang dinamakan masa yang sesuai itu. Tunjukkan kepada saya jika ada? Bilakah masa yang sesuai itu akan muncul, sebutkan. Tahun depan? Atau Sepuluh tahun lagi. Atau akhirnya kita tidak dapat berbuat apa-apa atas alasan yang serupa bahawa tidak ada masa pun yang sesuai untuk kita kerana kita sentiasa sibuk.
Penangguhan selalunya menjadikan sesuatu itu semakin dilupai. Dalam isu yang membabitkan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir tidak memilih masa yang sesuai untuk membuat keputusan menyingkirkan orang nombor duanya itu. Pada masa tindakan diambil ke atas Anwar Ibrahim, negara sedang melaksanakan temasya sukan yang besar iaitu Sukan Komanwel kali ke-16. Belum pun semua wartawan dan pemimpin dunia pulang, pada masa itulah pengumuman pemecatan Anwar Ibrahim dibuat. Tidakkah Dr Mahathir terfikir tentang serangan balas daripada pemimpin-pemimpin itu atau soalan-soalan pedas oleh para wartawan. Saya pasti jika orang lain bukan sahaja peristiwa pemecatan itu tidak berlaku, malahan kalau hendak dilakukan pun terpaksa ditangguhkan kepada masa selepas sukan itu. Inilah satu lagi keluar biasaan Dr Mahathir yang mencengangkan ramai orang.
Ia bukan memerintah, tetapi memimpin dan membimbing. Ia menyediakan kepada kita sebuah wawasan yang siap dengan “saiz”, bentuk dan cabaran-cabarannya. Ia tidak membiarkan kita bersendirian memahami atau mengolah wawasan itu. Ia benar-benar bertindak sebagai guru kepada kita. Ramai orang menulis atau memuja seseorang yang di luar daripada lingkungannya. Orang-orang luar yang rata-rata berbangsa dan berbahasa Arab diangkat sebegitu rupa sebagai idola konon. Mereka didewakan sebagai seorang yang perlu dicontohi dalam perjuangan mereka, Nama-nama seperi Hassan al-Banna, Syed Qutub, Iqbal adalah ribuan nama yang selalu diangkat sebagai pejuang sejati. Sedangkan tidak ada seorang pun di kalangan yang disebut tadi berjaya dalam perjuangannya, seperti membentuk sebuah kerajaan atau memimpin sebuah negara. Yang pasti mereka adalah seorang ketua kepada sebuah kumpulan yang terpaksa berjuang bermati-matian untuk menegakkan matlamat dan tidak pernah pun berpeluang memerintah sebuah kerajaan atau negara. Kebanyakan yang diangkat sebagai pejuang ialah orang yang gagal. Mengapa? Mengapa orang yang masih hidup dan ada di depan mata yang telah pun berjaya dalam melaksanakan pembangunan negara daripada bangsa kita sendiri dikesampingkan.
No comments:
Post a Comment