TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Monday, May 28, 2007

Demokrasi Gaya Malaysia Lebih Diyakini

DEMOKRASI seperti juga corak pemerintahan republik dan monarki ada kelemahannya. Cuma kelemahan yang ada dalam demokrasi tidak seteruk kelemahan yang ada pada sistem pemerintahan republik atau monarki. Sebab itu demokrasi menjadi pilihan kebanyakan negara, tidak terkecuali Malaysia. Seperti juga halnya dengan corak pemerintahan yang lain, demokrasi adalah ciptaan manusia berdasarkan kehendak manusia pada waktu itu. Justeru itu dari segi amalannya demokrasi tidak mempunyai satu bentuk yang tetap dan sama. Ia lahir daripada sejarah dan budaya manusia yang berbeza.
Athens adalah negara yang mencetuskan demokrasi. Amerika pula mengamalkan demokrasi liberal. Indonesia mengamalkan demokrasi terpimpin dan kita pula mengamalkan demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan.
Demokrasi menurut takrif Malaysia lebih dapat dipertanggungjawabkan. Dalam negara demokrasi kita dibenarkan untuk berbeza pandangan, tetapi bukan luang untuk kita berpecah. Jika perbezaan tidak dapat dielakkan ia hanyalah untuk perkara-perkara kecil yang tidak melibatkan perkara dasar yang boleh menentukan jatuh bangunnya negara. Dalam hal yang menentukan keamanan dan keselamatan negara umpamanya, kita tidak ada pilihan lain, selain bersepakat untuk bersetuju.
Meskipun demokrasi sering dilaung-laung sebagai alat untuk mencapai kebebasan namun di Malaysia demokrasi tidak lebih sebagai alat yang digunakan untuk memperkukuh kerajaan dan memajukan negara sebaik-baiknya. Bagi kita kebijaksanaan para pemimpin yang menerajui negara lebih penting daripada demokrasi itu sendiri. Demokrasi boleh bertindak sebagai pemusnah jika jatuh ke tangan mereka yang tidak mampu mengendalikannya. Justeru dengan kebijaksanaan pemimpin negara kita tidak menjadi hamba kepada demokrasi, tetapi demokrasi digunakan dengan penuh hati-hati agar ia tidak sampai menjadi alat untuk memuaskan nafsu kumpulan kecil manusia dan menafikan kumpulan majoriti. Kebijaksanaan kita menyesuaikan demokrasi dengan keadaan semasa menjadikan Malaysia sebuah negara yang adil, kuat dan stabil.
Bagi Malaysia ada sesuatu yang lebih penting daripada demokrasi itu sendiri, iaitu keamanan. Tidak ada maknanya kita menjuarai negara demokrasi sedangkan keadaan negara kucar-kacir. Cara yang kita pegang selama ini dalam memutuskan sesuatu perkara atau menyelesaikan sesuatu masalah ialah melalui perundingan. Itulah cara yang kita amalkan selama ini yang telah menyebabkan kita membawa negara kita ke tahap ini. Inilah formula Malaysia yang tidak ada tolok bandingnya.
Demokrasi ala-Malaysia mungkin tidak disenangi oleh Barat yang mengamalkan demokrasi liberal yang lebih mementingkan kebebasan individu. Kita tidak percaya kepada kebebasan individu per se apatah lagi kebebasan mutlak. Bagi kita kebebasan ada batasnya dan kebebsan yang melamau akan mendedahkan rakyat negara ini kepada kelemahan dan bahaya. Menurut teori McGregor, jika manusia diberi peluang mereka akan melakukan menurut cara yang mereka suka sekalipun itu melanggar undang-undang. Burung yang selalu dijadikan lambang kebebasan oleh para pelukis pun sebenarnya tidak bebas. Apabila burung hendak makan ia hinggap di dahan kayu atau turun ke tanah kerana di situ ada ulat atau cacing. Begitu juga dengan manusia.
Setiap orang sebenarnya diikat sama ada oleh agamanya, kepercayaannya atau undang-undang. Sebagai contoh, kita mungkin berminat untuk terus bekerja, tetapi agama menyatakan kita mesti berhenti kerana kita perlu sembahyang . Sebagai pelajar kita berminat untuk bangun lewat, tetapi peraturan sekolah menentukan kita mesti sampai ke sekolah sebelum jam 7.30 pagi. Kita berminat dengan permata yang berjuta-juta ringgit di dalam cermin, tetapi undang-undang melarang kita mencuri. Kita mungkin berminat kerja terus menerus, tetapi tanggungjawab kita sebagai bapa atau ibu menghalang kita berbuat begitu. Begitulah keadaan kita tidak benar-benar bebas. Kita tidak sebenar-benarnya menentukan apa yang sebenarnya kita inginkan, sebaliknya kehendak kita tertakluk kepada agama, undang-undang, peraturan, etika dan tanggungjawab. Sebab itu kita bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan, dan sebagai balasannya kita berhak untuk diberikan ganjaran atau hukuman daripada apa yang kita lakukan.
Satu-satunya kelemahan demokrasi jika ada ialah ia selalu mewujudkan pemerintahan gerombolan iaitu wujud satu kumpulan orang yang terlampau berkuasa, dan satu kumpulan yang lebih besar terpaksa akur sahaja. Gerombolan yang terlampau berkuasa itu pula didominasi oleh seorang atau beberapa orang yang terlalu berkuasa. Inilah pendapat Arnold Toynbee dan Daisaku Ikeda. Tetapi di Malaysia keadaan ini tidak berlaku. Sebabnya demokrasi kita diimbangi oleh kuasa raja dan kuasa perlembagaan. Perlembagaan dimaktubkan sebagai undang-undang tertinggi. Dalam pentadbiran Malaysia, tidak ada yang boleh mengatasi perlembagaan sekalipun ia seorang raja apatah lagi Perdana Menteri. Satu lagi kita mengamalkan dasar pengagihan kuasa antara keadilan, perundangan dan pelaksana.

No comments: