TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Wednesday, May 30, 2007

IKUT NABI ATAU IKUT ORANG

SEBAGAI seorang Islam kita disuruh ikut nabi. Memang sedap bunyinya dan itulah yang sepatutnya. "Sembahyanglah sebagaimana aku sembahyang", itulah salah satu kata nabi. Tetapi realitinya yang diikut oleh manusia bukan nabi, tetapi ibu, bapa, datuk atau moyang mereka. Ataupun orang-orang yang wujud di sekeliling mereka. Atau yang ditunjuk dan diberitahu oleh guru-guru mereka. Oleh kerana ibu bapa dan orang-orang yang berpengaruh di sekeliling mereka telah melakukannya berulang kali, maka mereka pun melakukannya. Mereka melakukannya kerana mereka melihat datuk, nenek, ibu, bapa dan masyarakat sekeliling melakukannya. Lama kelamaan apa yang mereka lakukan telah bertukar menjadi satu kepercayaan bahawa itulah yang betul dan patut mereka pertahankan. Anak-anak pula melihat apa yang telah ibu bapa mereka lakukan. Kadang-kadang mereka tidak mempunyai pengetahuan pun tentang apa yang mereka percaya baik. Kebanyakannya hanya main rasa-rasa, sangka-sangka dan agak-agak sahaja. Kalau adapun pengetahuan tentang sesuatu itu ianya sedikit sekali. Mereka percaya kerana orang lain percaya. Noktah. Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu. Inilah hakikatnya yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Mereka percaya kepada sesuatu yang mereka sendiri tidak ada ilmu tentangnya. Jika ibu bapa mereka menunjukkan contoh yang baik, insya-Allah anak-anak mereka akan mendapat gambaran yang baik. Tetapi bagaimana dengan ibu bapa yang memberi contoh yang tidak tepat, tetapi diyakini betul. Tentu anak juga akan mencontohi perkara yang serupa. Bagi anak-anak yang menjadikan ibu bapa dan orang-orang yang berpengaruh di sekeliling mereka sebagai idola mereka, tidak terlintas di fikiran anak-anak itu untuk mempersoalkan sama ada apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka itu menepati kehendak Islam atau tidak. Contoh yang paling ketara ialah kepercayaan bermazhab dalam masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu amat percaya mereka bermazhab Syafie dan berpegang kepada aliran ahlussunnah wa jamaah. Tetapi percayakah anda bahawa sebahagian daripada mereka tidak mengenali Imam Syafie yang menjadi ikutan mereka selama ini dan tidak pernah ambil tahu tentang kitab utamanya, iaitu al-Um. Satu lagi contoh yang ketara juga ialah berkahwin lebih daripada satu. Mereka mendakwa itu sunnah nabi. Tetapi sebenarnya apa yang berlaku mereka telah melihat ayah atau datuk atau orang yang paling hampir dengan mereka berkahwin lebih daripada satu. Itu sahaja. Jika perkahwinan itu benar-benar ikut nabi tentu perkahwinan itu tidak disudahi dengan perpecahan dalam rumah tangga, anak-anak yang menderita dan tidak kenal siapa ayah mereka. Jika perkahwinan itu ikut sunnah nabi, tidak ramailah wanita yang menjadi janda di negara ini.

No comments: