TALI TUHAN DAN TALI MANUSIA

KITA tidak benar-benar bebas seperti apa kita mahu. Kita diikat oleh agama dan kepercayaan; perlembagaan dan undang-undang; syariat dan adat; etiket dan budaya. Itulah namanya Tali Tuhan dan Tali Manusia. Sebab itu tidak salah pada setiap detik kita berusaha untuk mengikat orang-orang yang kita sayangi dengan tali keamanan, tali persahabatan dan tali kasih sayang. Justeru marilah kita mengikat sesama kita dengan benang kasih sayang. Dan jika ikatan sudah mula longgar, marilah kita mengikatnya dengan ikatan yang lebih segar. Dengan izin Tuhan, apabila kita mengikat diri kita dengan agama, kita tidak akan terlepas daripada pandangan-Nya dan jika kita mengikat dengan manusia, tak kan berpaling orang yang disayangi sama ada namanya ibu, bapa,isteri,suami, anak, saudara, jiran, bangsa dan warga dunia. Peperangan yang kerap berlaku mutakhir ini adalah kerana manusia sudah hilang ikatan itu bukan sahaja di hatinya, tapi di jasadnya. Kita tiada pilihan lain selain mengikat dan memperbaharui ikatan itu sama ada secara realiti mahupun simbolik.

Monday, May 28, 2007

Kerjasama Ekonomi Cara Malaysia

DALAM bidang ekonomi yang lebih luas, Malaysia mengalu-alukan mana-mana negara yang ingin menjalin kerjasama dengannya. Sebab itu negara ini membuka peluang seluas-luasnya kepada kemasukan modal asing. Kita bersedia memberikan pelbagai insentif kepada orang luar yang ingin mendirikan kilang dan melaburkan modal mereka di sini.Tetapi sikap keterbukaan ini bukanlah tiket untuk mereka campur tangan dalam urusan rumah tangga kita. Kita ada formula kita sendiri untuk mengatur negara kita. Mereka boleh memberikan sebanyak mungkin pandangan, tetapi satu pun pandangan itu tidak boleh dipaksakan ke atas kita walau sebaik mana pun pandangan itu. Sebagai negara yang merdeka kita ada hak untuk memilih dan menyaring mana-mana pandangan, serta menentukan tindakan dan formula yang paling sesuai untuk menyelesaikan masalah kita. Sebagai bangsa yang bermaruah dan merdeka, kita mesti berani menyatakan tidak dalam beberapa hal. Inilah kemerdekaan satu lagi yang kita inginkan setelah negara kita bebas daripada belenggu penjajahan 49 tahun yang lalu. Apalah makna kemerdekaan yang sebenar jika minda kita masih melihat padang orang lain lebih hijau daripada padang kita sendiri.Ketika negara dilanda krisis ekonomi memang kita mengharapkan sokongan dan bantuan. Adalah keterlaluan benar jika kita mengatakan bahawa kita tidak memerlukan sebarang bantuan, sedang kita memang memerlukannya. Akan tetapi formula kita ialah kita lebih berhati-hati memilih bantuan untuk mempastikan bahawa kita tidak diperangkap dengan bantuan yang diberikan. Kita memang menggunakan bantuan daripada pelbagai sumber. Dan sumber utama ialah rakyat kita sendiri.Di saat-saat Malaysia memang memerlukan bantuan, tidaklah menjadikan pemimpin kita ghairah sehingga menutup mata kepada kebenaran. Apa yang berlaku di negara-negara lain dijadikan iktibar. Di sinilah pemimpin Malaysia berupaya membezakan antara bantuan yang diberikan kerana benar-benar ingin membantu dengan bantuan yang diberikan kerana ada udang di sebalik batu. Atas alasan itulah kita mengutamakan bantuan yang dihulurkan oleh rakyat kita sendiri sama ada melalui sumbangan korporat, orang perseorangan, swasta dan potongan gaji kaki tangan kerajaan. Ketika kita menghadapi masalah, kita lebih percayakan rakyat kita sendiri. Tanpa bantuan daripada IMF sekali pun kita telah membuktikan kita mampu memulihkan ekonomi negara dengan syarat antara rakyat dan kerajaan mesti ada kerjasama.Masalahnya, bukan kita tidak sukakan bantuan Barat tetapi niat mereka. Mereka memberikan bantuan, tetapi pada masa yang sama mereka ingin menutup mulut kita. Mereka menghulurkan tali kepada kita yang sedang kelemasan, selepas itu apabila sampai di tebing mereka hendak menjerut leher kita dengan tali yang sama. Itu tidak adil. Dengan kata lain, mereka ingin memaksakan syarat-syarat mereka kepada kita. Ini sudah keterlaluan dan mesti dielakkan. Rumah tangga kita seolah-olah seperti orang lain yang mengaturnya. Inilah sebabnya yang kita mati-matian menolak bantuan IMF.Apabila kita menolak bantuan IMF, bukan bermakna kita menolak Barat. Kita tidak pernah menolak Barat seluruhnya. Kita hanya menolak cara-cara mereka yang merugikan kita. Atau cara yang menurut Perdana Menteri akan menjadikan kita lebih miskin daripada sebelumnya.Selama ini kita bersedia mengenakan kot dan tali leher mereka. Sesekali, kita membawa anak-anak kita menikmati keenakan resepi ayam goreng di restoran KFC atau merasai kelazatan makanan Itali di Pizza Hut atau ke Restoran McDonald untuk menikmati hidangan McChicken atau McBurger. Kita bersedia menyampaikan mesej-mesej kita kepada mereka dalam bahasa mereka. Cuma kita menolak untuk menyarungkan pemikiran mereka di kepala kita, apatah lagi mencabut kepala kita dan menggantikannya dengan kepala orang lain.Apabila kerajaan menolak bantuan IMF sedangkan kerajaan memang memerlukan kewangan yang banyak untuk memulihkan ekonomi negara, idea itu bagi sesetengah orang kelihatan ganjil dan tidak dapat diterima. Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengakui bahawa kadang-kadang idea yang dicetuskan olehnya kelihatan ganjil, dan tidak dapat diterima. Tetapi itu hanya di peringkat awal. Ini bukan terjadi kepada bagaimana kerajaan menangani masalah kegawatan ekonomi sahaja, malahan dalam semua perkara yang dibuat oleh pimpinan negara sebelum ini pun, ada sahaja kritikan dilemparkan. Tetapi lama kelamaan pengkritik semakin menghilangkan diri dan kritikan telah bertukar dengan pujian. Sebabnya formula yang diguna pakai untuk menyelesaikan sesuatu masalah telah menampakkan hasilnya. Di sinilah kekuatannya apabila sesuatu masalah kita ditangani dengan cara kita, bukan terikut-ikut dengan cara yang popular.Apabila kebanyakan negara mengamalkan suatu cara yang serupa, bukan bererti itulah satu-satunya cara yang harus diikuti. Apa yang baik di sesebuah negara lain, tidak semestinya baik di negara kita. Begitu juga apa yang kita lakukan beberapa tahun yang lalu mungkin tidak relevan lagi dengan situasi sekarang.Dalam Formula Malaysia, kita bukan sekadar ingin mencari yang terbaik, tetapi yang terbaik itu harus sesuai pula dengan masalah yang sedang dihadapi dan keperluan-keperluan kita. Mengenakan make-up orang lain tidak akan menjadikan wajah kita lebih cantik daripada sebelumnya jika tidak disesuaikan dengan jenis dan warna kulit kita.Masalah yang cuba diselesaikan melalui Formula Malaysia ialah penyelesaian menyeluruh. Maksudnya bukan bererti satu masalah selesai, akan mengundang satu atau beberapa masalah yang lain. Formula kita mudah, iaitu tidak menutup satu masalah dengan membangunkan satu masalah lain.Sebagai contoh, kita mungkin boleh meminjam wang daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), tetapi apabila kita memiliki wang tersebut masalah yang lebih besar menunggu kita. Orang asing akan membuli kita dan mempergunakan pinjaman yang mereka hulurkan untuk memperhambakan kita. Petaka inilah yang kita cuba dielakkan sedapat yang mungkin.Formula penyelesaian masalah ekonomi dengan cara sendiri yang dikemukakan oleh pemimpin kita ternyata tepat apabila pasaran saham kita melonjak sehingga mencecah 1300 mata dan nilai ringgit kita semakin tinggi berbanding dolar. Sebaliknya negara-negara yang menerima bantuan IMF seperti Thailand dan Indonesia tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda perubahan. Kita menyaksikan betapa IMF dikecam sebegitu rupa kerana kegagalan mereka mengatasi masalah kewangan di rantau ini dan mengawal kegiatan spekulator atau penyangak mata wang menurut istilah Mahathir.Kejayaan kita membangunkan ekonomi negara selama ini terbukti apabila tidak ada tentangan daripada rakyat, tidak ada tunjuk perasaan, tidak ada rusuhan kaum, tidak ada gedung-gedung perniagaan yang dibakar dan tidak ada orang marah semasa negara dilanda kegawatan seperti yang berlaku di negara lain. Sebabnya, rakyat merasakan tidak ada sebab untuk marahkan kerajaan yang selama ini begitu mengambil berat terhadap mereka. Mereka tahu di negara-negara lain pun berlaku kegawatan ekonomi, malahan keadaannya lebih teruk lagi.Sebaliknya, sebagai menunjukkan tanda kesyukuran dan terima kasih kepada kerajaan mereka bersedia membantu kerajaan menangani kegawatan dengan menyumbangkan sesuatu untuk dana negara. Kakitangan kerajaan pula rela hati dipotong elaun mereka.Ini berbeza dengan negara jiran kita, Indonesia. Kegawatan ekonomi telah menyebabkan rakyat di negara itu merusuh. Kaum peribumi berasa tidak puas hati kepada pemerintah yang konon-kononnya tidak mengagihkan kekayaan dengan adil. Gedung-gedung perniagaan milik kaum bukan pribumi dirompak dan kemudian dibakar, konon-kononnya merekalah yang menjadi punca kepada masalah ekonomi. Rasa permusuhan kaum semakin menebal. Rakyat merusuh di jalan-jalan. Tetapi keadaan buruk ini tidak terjadi di negara kita, padahal negara ini turut dilanda kegawatan ekonomi.Apakah formula yang digunakan oleh Malaysia sehingga kemarahan rakyat dapat dibendung? Rahsianya terletak pada asas ekonomi kita yang kukuh. Ini adalah hasil daripada perancangan dan dasar ekonomi kita selama ini yang begitu mantap.Di negara ini rakyat tidak dibiarkan miskin. Sementara projek besar diberikan kepada syarikat dan kalangan korporat, rakyat di kampung-kampung dan mereka yang tidak berkemampuan tidak dibiarkan bersendirian. Sementara lebuh raya dan sistem pengangkutan di pusat-pusat bandar dimajukan, jalan-jalan di kampung turut disediakan. Di sinilah kita menyaksikan orang-orang miskin mampu menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan membayar hutang kepada kerajaan seminggu sekali melalui skim Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).Di sinilah juga kita melihat orang miskin mampu mengubah nasib mereka sehingga ada di kalangan mereka yang menjadi jutawan.Bagi yang tidak ada tanah pula diberi tanah melalui skim tanah rancangan Felda dan Felcra. Malahan di sini kerajaan dan swasta berganding bahu turut memajukan rumah kos rendah dan sederhana rendah untuk mereka yang berpendapatan kecil dan sederhana.Menurut Perdana Menteri, Pak Lah kerajaan telah membangunkan kuih ekonomi yang begitu besar. Oleh kerana kuih ekonomi kita besar, kuih itu dapat dibahagikan sama rata kepada semua kaum. Semua kaum dapat merasai nikmat daripada kemajuan ekonomi negara ini. Sebab itulah apabila berlaku kegawatan ekonomi, kita tidak mengalami masalah kemarahan rakyat seperti yang berlaku di negara jiran itu. Kemarahan rakyat baru-baru ini bukan kerana mereka tidak cukup makan, tetapi kerana seseorang yang terlalu mereka puja.

No comments: