TUN DR MAHATHIR YANG MENGUTAMAKAN MASA
JIKA orang Cina ada pepatahnya tentang masa, iaitu masa itu emas, dan orang Arab pula menyatakan masa itu umpama pedang, tiada pula pepatah seperti itu muncul dalam masyarakat Melayu.Masa seolah-olah bukan satu keutamaan dalam masyarakat Melayu walaupun mereka selalu membacakan surah al-'asr (masa). Malahan tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa kebiasaan membaca surah al-'Asr bagi menamatkan sesuatu program semacam suatu tempelak bahawa orang Melayu memang perlu diingatkan selalu tentang masa dan bagaimana menepatinya. Yang seronoknya surah tersebut tetap dibaca walaupun acara telah melebihi masa yang ditetapkan. Aneh! mereka mempunyai kekuatan untuk membaca ayat tersebut, tetapi amat dhaif dari segi pengamalannya. Tun Dr Mahathir sewaktu mula-mula memegang jawatan Perdana menteri memang menyedari betapa lemahnya orang Melayu dalam hal ini. Mantan Perdana Menteri itu menyedari betapa besarnya pengaruh masa kepada kejayaan sesuatu bangsa. Sebab itu beliau mengambil langkah bijak apabila menyamakan waktu antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat, di samping memperkenalkan kad perakam waktu dan menjadikan dirinya sebagai contoh dalam menepati waktu. Beliau sedar bahawa orang Melayu memang tidak mempunyai suatu ukuran waktu yang konkrit. Apabila mereka ingin menceritakan tentang jauhnya sesuatu perjalanan, mereka menggunakan matahari sebagai rujukan. Kata mereka "saya bertolak tadi matahari timbul, sekarang saya sampai matahari tenggelam". Jika sanak saudara bertanya tentang umur anak mereka, mereka akan menjawab setinggi pokok inilah anak mereka. Malahan dalam kitab Sejarah Melayu susunan Tun Sri Lanang disebutkan betapa ada seorang Melayu yang begitu mahir bermain sepak raga bulatan (waktu itu belum ada takraw). Dikatakan beliau sangat handal menimang bola sehingga sepenanak nasi lamanya. Bayangkan berapa ribu kali beliau berjaya melambung bola kerana waktu itu belum ada periuk elektrik. Memang besar kaitan masa dengan pencapaianseuatu bangsa. Sebab itu Tun Dr Mahathir menetapkan tanggal 1 Januari 2020 sebagai target bagi Malaysia mencapai status negara maju.
No comments:
Post a Comment